Sarawak perlu pemimpin yang mampu terjemah visi kepada tindakan – Awang Tengah

KUCHING – Sarawak memerlukan barisan pelapis yang mampu menyelesaikan masalah, membina pasukan dan menterjemahkan hala tuju pembangunan negeri kepada manfaat untuk rakyat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata pemimpin masa depan perlu memahami sejarah dan budaya masyarakat di samping menguasai teknologi, ekonomi dan perkembangan global. Keupayaan itu penting bagi melahirkan idea baharu dan menggerakkan perubahan.

“Kepimpinan bukan soal kedudukan. Kepimpinan adalah mengenai tanggungjawab, integriti dan impak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Hikayat Panglima Nikosa di Wisma Melayu Sarawak, Petra Jaya, hari ini.

Awang Tengah mengambil iktibar daripada Hikayat Panglima Nikosa karya Ahmad Shawal Abdul Hamid, yang menggambarkan kepimpinan ketika berhadapan dengan peperangan. Menurutnya, keupayaan membina pasukan dan mencetuskan idea yang ditonjolkan dalam karya itu masih relevan dengan cabaran pembangunan Sarawak hari ini.

Dicetak menggunakan teknik litografi di Kuching pada 30 Jun 1876, hikayat itu diiktiraf oleh sarjana sebagai antara karya Melayu bercetak terawal di Sarawak dan perintis kepada bentuk novel Melayu moden.

Pertumbuhan ekonomi perlu tingkatkan pendapatan isi rumah

Awang Tengah, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, berkata Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 menggariskan hala tuju negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan yang inklusif dan kelestarian alam sekitar.

Katanya, Sarawak mendapat pengiktirafan Bank Dunia sebagai wilayah berpendapatan tinggi sejak 2022. Usaha meningkatkan pendapatan isi rumah perlu diteruskan dengan memperkukuh pendidikan, membangunkan kemahiran dan membuka lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menceburi perniagaan.

Beliau menyenaraikan ekonomi digital, tenaga boleh baharu, hidrogen, ekonomi hijau, pertanian moden, pelancongan dan industri kreatif sebagai sektor yang menawarkan peluang kepada penduduk tempatan.

“Jadi, kami perlu memastikan rakyat tempatan menjadi peserta aktif dan penerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Naskhah sejarah perlu didigitalkan

Awang Tengah turut menyeru supaya naskhah awal dan bahan kajian sejarah dipelihara serta didigitalkan bagi memudahkan akses penyelidik. Beliau mencadangkan kerjasama institusi penyelidikan di Sarawak dan Malaysia diperluas kepada Brunei, Indonesia serta komuniti akademik antarabangsa bagi memperkukuh kajian terhadap karya seperti Hikayat Panglima Nikosa.

Persidangan dua hari bertemakan 150 Tahun Hikayat Panglima Nikosa itu dianjurkan oleh Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak dan menghimpunkan 563 peserta, termasuk penyelidik sejarah tempatan dan antarabangsa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat