Saifuddin arah PDRM gerakkan segala sumber siasat kebocoran minit pengampunan Najib

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggerakkan segala sumber yang ada bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail perlu menggunakan segala keupayaan yang ada bagi mengesan perkara itu dan mengenal pasti sama ada benar berlaku unsur kebocoran.

Saifuddin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini sudah menjelaskan dua perkara utama berhubung isu berkenaan di Parlimen.

Katanya, penyahklasifikasian minit mesyuarat Lembaga Pengampunan dilakukan bagi membantu Peguam Negara menyediakan afidavit untuk kes semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam Malaysia di mahkamah.

Selain itu, Anwar turut meminta polis memulakan siasatan sekiranya benar terdapat unsur kebocoran.

“Saya fikir Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohd Khalid Ismail perlu menggerakkan segala sumber yang ada untuk mengesan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27), menurut Harian Metro pada Selasa.

Terdahulu, Anwar menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.

Perdana Menteri turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu diedarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sebaliknya, beliau menjelaskan AGC hanya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi prosiding mahkamah.

Saifuddin berkata, penyahklasifikasian berkenaan bermakna dokumen terbabit tidak lagi tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan menjadi dokumen awam.

“Sebaik sahaja kita menyahklasifikasikannya, ini bermakna dokumen itu sudah menjadi dokumen awam. Apa pun, saya menyerahkan perkara ini kepada KPN,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat