KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius dakwaan kegiatan penipuan membabitkan penyamaran identiti dan penyalahgunaan nama kementerian itu serta Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi memperdaya sebuah syarikat pelancongan.
MOTAC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya sedang mengambil langkah sewajarnya bagi mendapatkan pengesahan lanjut berhubung kes berkenaan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.
Kes terbabit melibatkan tempahan bagi satu program yang dikenali sebagai ‘Program Lawatan Rasmi’ pada 1 hingga 4 Oktober 2026.
Menurut kementerian itu, syarikat pelancongan terbabit mendakwa menerima tempahan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil JWN berserta dokumen yang dikatakan sebagai pesanan belian (PO).
Selain itu, komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp turut dilaporkan menggunakan nama dan identiti seorang pegawai kanan MOTAC.
“MOTAC memandang serius sebarang tindakan yang melibatkan penyalahgunaan nama, identiti pegawai kerajaan serta dokumen yang dikaitkan dengan urusan rasmi kerajaan tanpa kebenaran.
“Perbuatan sedemikian bukan sahaja boleh mengelirukan pihak berkepentingan, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti kementerian, JWN serta perkhidmatan awam,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan susulan pemakluman Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 2 November lalu berhubung kegiatan penipuan yang menyasarkan ejen pelancongan menerusi penyamaran sebagai wakil jabatan kerajaan.
Sehubungan itu, MOTAC menasihatkan orang ramai, syarikat pelancongan, penyedia perkhidmatan dan semua pihak berkepentingan supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang urusan yang menggunakan nama kementerian, JWN atau mana-mana pegawai kerajaan.
Pihak yang menerima tempahan, arahan kerja atau dokumen pesanan yang dikaitkan dengan kementerian dan jabatan berkaitan hendaklah mendapatkan pengesahan terlebih dahulu menerusi saluran rasmi sebelum mengambil sebarang tindakan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pembayaran atau komitmen kewangan berdasarkan arahan, dokumen atau komunikasi yang belum disahkan kesahihannya.
Sebarang komunikasi atau dokumen mencurigakan hendaklah disemak dengan pihak berkenaan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat unsur penipuan.
“MOTAC menegaskan bahawa kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan nama dan identiti kementerian, JWN atau pegawai kerajaan.
“Kerjasama semua pihak amat penting bagi membendung kegiatan sedemikian serta memastikan integriti urusan rasmi kerajaan sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, jumlah kerugian yang dialami syarikat pelancongan terbabit, sekiranya ada, tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.



