KUALA LUMPUR – Maklumat daripada penduduk akan dijadikan asas dalam mengenal pasti kawasan bermasalah liputan telekomunikasi di Melaka sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk semakan dan tindakan lanjut.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerjasama orang ramai diperlukan bagi mengenal pasti lokasi yang masih berdepan masalah capaian internet dan perkhidmatan telefon mudah alih.
Katanya, maklumat diperlukan bukan sahaja melibatkan kawasan yang tidak mempunyai liputan langsung, malah lokasi dengan kekuatan isyarat terlalu lemah sehingga menyukarkan urusan panggilan telefon dan penggunaan internet.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau meminta penduduk yang berdepan masalah berkenaan menyalurkan maklumat terperinci menerusi ruangan komen.
Menurutnya, penduduk perlu menyatakan nama kampung atau taman perumahan serta mercu tanda terdekat bagi memudahkan lokasi terbabit dikenal pasti.
Selain itu, mereka turut diminta menyatakan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang digunakan serta jenis masalah dihadapi.
Ini termasuk ketiadaan liputan langsung, panggilan telefon yang kerap terputus atau capaian internet yang terlalu perlahan.
Muhamad Akmal berkata, semua maklumat yang diterima akan dikumpulkan sebelum dikemukakan kepada pihak berkaitan untuk semakan dan tindakan selanjutnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama orang ramai dalam membantu mengenal pasti kawasan yang masih berdepan masalah liputan telekomunikasi di negeri itu.



