Israel guna sekatan bekalan air untuk paksa penduduk Palestin berpindah – Adel Yasin

KUALA LUMPUR – Israel menggunakan kawalannya terhadap sumber air di wilayah Palestin yang diduduki untuk menekan penduduk supaya meninggalkan kediaman mereka, kata jurucakap Pihak Berkuasa Air Palestin, Adel Yasin.

Adel, yang juga Ketua Pengarah Perancangan dan Dasar Palestin, berkata sekatan itu memburukkan kekurangan bekalan air bersih di Gaza dan Tebing Barat. Menurutnya, penduduk Palestin telah dihalang daripada membangunkan sumber air sendiri sejak pendudukan Israel bermula pada Jun 1967.

Dalam wawancara dengan Bernama TV, beliau berkata penduduk Palestin hanya memperoleh antara tiga hingga lima liter air minuman seorang sehari. Beliau turut merujuk anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa seseorang memerlukan kira-kira 100 liter air sehari untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Adel berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia dan PBB yang dirujuknya, kira-kira 90 peratus infrastruktur bekalan air di Gaza mengalami kerosakan menyeluruh sejak Oktober 2023.

Menurutnya, usaha memulihkan bekalan turut terjejas apabila Israel menyekat kemasukan konkrit, keluli dan bahan api yang diperlukan untuk membina semula kemudahan air.

Di Tebing Barat, Adel berkata kawalan Israel terhadap sumber air bawah tanah menyebabkan sebahagian penduduk Palestin bergantung pada lori tangki dari lokasi yang jauh. Beliau berkata penghantaran itu terdedah kepada serangan udara Israel, manakala beberapa petugas Pihak Berkuasa Air Palestin terbunuh ketika menyelenggara atau membaiki kemudahan bekalan air.

Beliau memberi contoh sebuah keluarga Palestin di Hebron yang menerima bekalan air sekali setiap 60 hari pada musim panas dan sekali setiap 30 hari pada musim sejuk, sedangkan penempatan Israel di kawasan sama mendapat bekalan sepanjang masa.

“Jelas sekali mereka menggunakan air sebagai senjata untuk memaksa penduduk Palestin berpindah,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat