Pernah hampir menganggap dunia nyanyian bukan lagi tempatnya, penyanyi Fatin Faishal kini memilih untuk kembali mengejar impian yang sekian lama tersimpan, selepas melalui perjalanan seni yang tidak semudah disangka.
Memulakan langkah dalam industri muzik sejak 2019, Fatin atau nama sebenarnya Nurfatin Najwa Mohd Faishal pernah menghasilkan empat single, menyertai program realiti televisyen serta berpeluang bekerjasama dengan komposer dan penerbit berpengalaman. Namun, peluang untuk mengembangkan namanya tidak begitu berpihak kepadanya, terutama selepas pandemik COVID-19 mengehadkan aktiviti promosi dan kemunculan media.
Antara pencapaian yang cukup bermakna ialah apabila single ‘Kita Sama’ ciptaan Amylea mendapat putaran di beberapa stesen radio dan membawanya meraih pengiktirafan Artis Baru Baek ERA pada Mei 2021. Lagu itu turut digunakan sebagai lagu sisipan drama televisyen, sekali gus membuka ruang untuk namanya mula dikenali pendengar.
Bagaimanapun, momentum berkenaan tidak dapat diteruskan seperti diharapkan. Selepas menghasilkan lagu Sekaliku Bicara, Kita Sama, Rasa dan Waktu serta Doktor Cinta, Fatin mula memperlahankan langkah dalam bidang nyanyian dan memberikan tumpuan kepada perniagaan keluarga serta jenama sendiri yang merangkumi produk minyak wangi dan tudung.
Mengakui pernah melalui fasa hilang semangat, Fatin berkata dia tidak pernah berhenti menyanyi sepenuhnya kerana masih menerima jemputan persembahan, cuma sudah lama tidak aktif dari segi penghasilan single baharu dan kemunculan di media.
“Memang pernah terfikir mungkin bidang nyanyian ini bukan rezeki saya. Saya sudah keluarkan empat single, pernah menyertai program realiti dan berada di bawah syarikat rakaman, tetapi nama masih belum berkembang seperti diharapkan.
“Namun, saya sedar tidak semua orang mendapat peluang seperti itu. Jadi, kenapa perlu mengalah sedangkan masih banyak yang boleh saya perbaiki?” katanya.
Fatin yang pernah menyertai Lagu Cinta Kita musim kedua terbitan TV3 dan All Together Now Malaysia terbitan Astro turut mengakui dirinya mempunyai kekurangan, terutama dalam usaha memasarkan bakat sendiri.

Menurutnya, seseorang penyanyi tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada syarikat rakaman kerana usaha membina nama, menghasilkan kandungan dan mendekati pendengar juga perlu dilakukan secara konsisten.
Kini, penyertaannya dalam kempen BANGKIT: Bakat Yang Tak Pernah Padam dianggap sebagai peluang untuk memperkenalkan semula dirinya kepada masyarakat, selain membuka lembaran baharu dalam perjalanan seni yang pernah melalui fasa sepi.
Fatin bakal berkongsi pentas bersama Sahri dan Pija Yasin pada 16 November ini di Kuala Lumpur International Hotel (KLIH). Dia juga menyimpan hasrat menghasilkan single baharu dan kini sedang merancang untuk mendapatkan komposer serta penerbit yang sesuai dengan identiti muziknya, dengan sokongan penuh bapanya yang sering menjadi teman berbincang mengenai muzik.
“Saya tidak sangka terpilih menyertai BANGKIT. Saya anggap ini peluang untuk memperkenalkan semula bakat dan karya muzik saya. Saya juga sudah merancang untuk menghasilkan single baharu, cuma masih dalam proses memilih komposer dan pihak yang sesuai.
“Saya percaya selagi kita berusaha, pasti ada ruang untuk kembali. Saya tidak mahu terus bergantung kepada peluang yang datang, sebaliknya kali ini saya mahu lebih berusaha memasarkan diri sendiri,” katanya.
Buat Fatin, perjalanan seni bukan perlumbaan untuk sampai ke garisan penamat paling awal. Ada waktunya seseorang perlu berhenti seketika, mencari kekuatan dan belajar daripada pengalaman sebelum kembali melangkah.
Selepas sekian lama menyimpan impian itu, BANGKIT mungkin menjadi permulaan kepada babak baharu buat Fatin, membuktikan bahawa bakat yang pernah menyepi tidak semestinya hilang, sebaliknya hanya menunggu waktu untuk kembali diberi ruang.



