KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim meminda dua syarat tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak dalam draf yang disediakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), termasuk menggugurkan klausa yang membolehkan pengecualian daripada larangan mengadakan atau menyertai majlis keramaian.
Satu lagi pindaan melibatkan peruntukan mengenai ahli keluarga yang dibenarkan tinggal bersama bekas Perdana Menteri itu. Sultan Ibrahim memutuskan supaya perkataan “isteri” ditukar kepada “isteri-isteri”.
Kedua-dua pindaan itu direkodkan dalam minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 pada 18 September 2026 yang dimuat naik portal Malaysiakini.
Menurut minit itu, perenggan 5.4 draf asal melarang Najib mengadakan atau menyertai acara atau majlis keramaian, termasuk di kediamannya, kecuali dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Komisioner Jeneral Penjara.
Sultan Ibrahim memutuskan supaya klausa kebenaran bertulis itu dipotong. Perenggan 5.4 yang dipinda melarang Najib mengadakan atau menyertai acara atau majlis keramaian di mana-mana tempat, termasuk di kediaman yang ditetapkan untuk tahanan rumah.
Seorang anggota lembaga, Supri Hashim, membangkitkan kemungkinan timbul permohonan untuk mengadakan majlis seperti tahlil atau perkahwinan di kediaman berkenaan. Penerimaan tetamu tertakluk kepada perenggan 2.4, yang membenarkan lawatan dengan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Komisioner Jeneral Penjara.
Pindaan mengenai ahli keluarga pula dibuat pada perenggan 2.3. Versi yang dipinda menyenaraikan isteri-isteri, anak, menantu dan cucu sebagai ahli keluarga yang boleh tinggal bersama Najib. Individu lain memerlukan kebenaran bertulis terlebih dahulu untuk tinggal di kediaman itu.
Minit merekodkan bahawa BHEUU menyediakan draf perintah dan syarat susulan titah Sultan Ibrahim dalam mesyuarat terdahulu. Draf tersebut dibincangkan bersama Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Penjara Malaysia sebelum dibentangkan kepada lembaga.
Selepas meneliti draf dan mempertimbangkan nasihat anggota lembaga, Sultan Ibrahim memperkenankan perintah serta syarat berkenaan dengan kedua-dua pindaan itu. Draf asal dimuatkan dalam Lampiran 1, manakala versi yang dipinda terkandung dalam Lampiran 2.
Pengampunan bersyarat itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan pematuhan syarat yang ditetapkan.


