Ab Rauf angkat sumpah Ketua Menteri Melaka bagi penggal kedua

MELAKA – Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 bagi penggal kedua hari ini, selepas gabungan Barisan Nasional (BN)–Perikatan Nasional (PN) memperoleh kemenangan lebih dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berusia 65 tahun itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Utama, Pejabat Tuan Yang Terutama (TYT), Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh pada 12.10 tengah hari.

Istiadat itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan serta Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Turut hadir calon-calon yang memenangi kerusi DUN pada pilihan raya semalam.

Terdahulu, Ahmad Zahid menghadap Yang Dipertua Negeri di Istana Melaka, Bukit Beruang bagi menyerahkan watikah pencalonan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri.

Keputusan PRN menyaksikan BN memenangi 21 kerusi, manakala PN memperoleh tiga kerusi, sekali gus memberikan gabungan itu penguasaan 24 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN. Pakatan Harapan (PH) pula memenangi empat kerusi.

Ab Rauf mempertahankan kerusi Tanjung Bidara dengan majoriti 8,615 undi, menewaskan calon PH, Yunazri Mustamiri dalam pertandingan satu lawan satu.

Pelantikan itu membolehkan beliau meneruskan kepimpinan pentadbiran negeri yang mula diterajuinya pada 31 Mac 2023, selepas menggantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang meletakkan jawatan.

Dilahirkan pada 20 September 1961 dan berasal dari Masjid Tanah, Ab Rauf mempunyai latar belakang luas dalam bidang perniagaan serta korporat sebelum bergiat aktif dalam politik.

Beliau memulakan kerjaya sebagai usahawan dan teknokrat pada usia 24 tahun dengan mengasaskan Asia Lab Malaysia Sdn Bhd pada 1985.

Pengalaman korporatnya turut merangkumi penglibatan dalam bidang teknologi maklumat di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dari 1993 hingga 1997, selain pernah menganggotai lembaga pengarah Europlus Berhad dan Talam Corporation Berhad antara 1998 hingga 2007.

Dalam bidang pendidikan, beliau berkelulusan Institut Kemahiran MARA (IKM) pada 1978 dan memperoleh Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada University of Gloucestershire, United Kingdom pada 2023.

Beliau turut mengikuti program pascasiswazah dalam Pentadbiran Perniagaan di Kuala Lumpur International Education Consortium serta memperoleh Diploma Pascasiswazah Tahap 7 dalam bidang sama daripada London Examinations Board pada tahun berkenaan.

Terbaharu, beliau dianugerahkan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui laluan APEL.Q di UKM Graduate School of Business, yang dimulakannya pada 2024.

Perjalanan politik Ab Rauf pula bermula di peringkat akar umbi apabila menjadi Ketua UMNO Cawangan Dataran Merdeka dari 1995 hingga 2013.

Beliau kemudian memegang beberapa jawatan dalam parti, termasuk Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada 2003 hingga 2004 serta Setiausaha Kerja UMNO Malaysia dari 2009 hingga 2018.

Sejak 2013, beliau menerajui UMNO Bahagian Masjid Tanah, selain menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO dan BN Melaka sejak 2018.

Ab Rauf turut berkhidmat sebagai Speaker DUN Melaka dari 2020 hingga 2021 sebelum memenangi kerusi Tanjung Bidara pada PRN 2021 dengan menewaskan calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan calon PH, Zainal Hassan. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat