PUTRAJAYA – Pasaran harta tanah negara merekodkan 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga 2026, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan subsektor kediaman terus mendominasi aktiviti pasaran.
Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Sr Abdul Razak Yusak berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan industri terhadap inisiatif strategik kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
Menurutnya, langkah kerajaan meningkatkan jaminan pembiayaan perumahan serta meneruskan insentif pembelian rumah pertama antara usaha yang menyokong permintaan dalam pasaran harta tanah.
“Peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan pengecualian penuh duti setem bagi pembelian rumah pertama berharga sehingga RM500,000 yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2027 telah menggalakkan permintaan pasaran harta tanah,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau membuat kenyataan itu sempena Pelancaran Siaran Pasaran Harta Suku Ketiga 2026 di Putrajaya yang berlangsung semalam.
Mengikut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), subsektor kediaman menyumbang bahagian terbesar transaksi dengan 61 peratus, diikuti pertanian sebanyak 18.5 peratus.
Sementara itu, subsektor komersial mencatat pertumbuhan transaksi tahun ke tahun sebanyak 5.3 peratus, manakala tanah pembangunan berkembang 5.2 peratus.
Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) turut menunjukkan pertumbuhan positif sebanyak 0.5 peratus kepada 235.4 mata, dengan harga purata rumah sebanyak RM507,809 seunit.
Dalam perkembangan berkaitan, pelancaran baharu kediaman meningkat kepada 19,642 unit pada suku ketiga 2026 berbanding 11,533 unit dalam tempoh sama tahun lalu, dengan prestasi jualan sebanyak 7.1 peratus.
Bagaimanapun, pasaran masih berdepan cabaran dari aspek lebihan penawaran kediaman siap yang belum terjual.
Laporan itu merekodkan sebanyak 33,598 unit kediaman siap belum terjual dengan nilai keseluruhan RM19.55 bilion.
Selain itu, sebanyak 23,568 unit pangsapuri khidmat siap belum terjual direkodkan dengan nilai RM20.13 bilion.
Bagi subsektor komersial, kadar penghunian kompleks perdagangan kekal stabil pada 76.6 peratus, manakala pejabat binaan khas milik swasta dan kerajaan mencatat peningkatan kadar penghunian kepada 78.8 peratus.
Dari segi prospek, pasaran harta tanah negara dijangka mengekalkan prestasi stabil, disokong pertumbuhan ekonomi serta aktiviti pembinaan yang aktif.
Transaksi rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah turut menguasai lebih 50 peratus daripada keseluruhan transaksi subsektor kediaman.
Bagaimanapun, laporan berkenaan mengingatkan bahawa prospek pasaran masih terdedah kepada perubahan ekonomi luaran dan kekangan kemampuan pemilikan harta tanah.
JPPH memaklumkan pihaknya akan meneruskan pemantauan terhadap dinamik penawaran dan permintaan bagi memastikan pertumbuhan pasaran harta tanah negara lebih seimbang dan mampan.



