KUALA LUMPUR – Datuk Puad Zarkashi mempersoalkan konsistensi DAP dalam memperjuangkan prinsip apabila hanya Anthony Loke meletakkan jawatan, sedangkan semua menteri parti itu sepatutnya mengambil tindakan sama jika benar-benar berpegang kepada prinsip melawan rasuah.
Beliau berkata, DAP tidak seharusnya berlebih-lebihan membangkitkan isu tahanan rumah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk tuntutan untuk meninjau kediaman di Jalan Langgak Duta yang dikaitkan dengan pelaksanaan tahanan rumah itu.
Menurut Puad, tindakan sedemikian tidak akan membantu DAP dilihat sebagai parti yang memperjuangkan reformasi tulen, sebaliknya berisiko menyebabkan parti itu dianggap hipokrit.
“Kalau berprinsip sepatutnya menteri DAP meletak jawatan secara en bloc bukannya membiarkan Anthony Loke seorang sahaja yang letak jawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Puad turut mempersoalkan mengapa DAP hanya mahu meninjau kediaman di Jalan Langgak Duta yang didakwa bakal menjadi lokasi tahanan rumah Najib, sedangkan keadaan penjara lain di seluruh negara juga wajar diberi perhatian.
“Kalau DAP mahu meninjau rumah di Jalan Langgak Duta sebagai penjara baharu Najib, bukankah lagi baik DAP memohon untuk meninjau keadaan semua penjara di Malaysia.
“Periksa kualiti tandas, katil, tilam, bilik air, bekalan air dan elektrik. Memenuhi piawaian atau tidak,” katanya.
Beliau menegaskan, DAP tidak sepatutnya menuntut akses ke kediaman berkenaan semata-mata kerana ia membabitkan Najib atau untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa parti itu berprinsip dan konsisten.
Puad turut menyindir Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng, supaya tidak berlebih-lebihan membangkitkan isu berkenaan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.
“Lebih baik kamu tolong bawa balik Jho Low,” katanya.
Lim Lip Eng sebelum itu mendesak Kementerian Dalam Negeri mengatur lawatan pemeriksaan rasmi oleh jawatankuasa Parlimen ke kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, yang telah diwartakan sebagai penjara untuk tahanan rumahnya.


