MELAKA – Pakatan Harapan (PH) mencabar Barisan Nasional (BN) mengemukakan bukti terperinci bagi menyokong dakwaan 97 peratus daripada 103 inisiatif manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021 sudah dilaksanakan.
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata, pihaknya menuntut penjelasan bertulis mengenai status pelaksanaan setiap janji manifesto itu sepanjang kempen pilihan raya bagi memastikan pencapaian yang diumumkan dapat disahkan.
Beliau berkata, PH turut meminta perkembangan terkini mengenai 55 projek yang dilaporkan masih belum dimulakan setakat Jun 2025.
“Tanpa bukti yang boleh disemak, angka 97 peratus itu tinggal slogan kempen untuk meraih populariti,” katanya pada sidang media sempena hari terakhir kempen PH.
Menurut Adly, pencapaian manifesto tidak seharusnya diukur berdasarkan angka yang diumumkan, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan pelaksanaan sebenar setiap inisiatif yang dijanjikan kepada rakyat.
Katanya, kerajaan negeri bertanggungjawab memberikan penjelasan kerana rakyat berhak mengetahui sama ada komitmen yang dibuat ketika pilihan raya benar-benar ditunaikan.
“Rakyat sebenarnya memerlukan semua perkhidmatan-perkhidmatan yang telah kita janjikan, tetapi kita harus melihat juga bahawa sebahagian besar daripada apa yang harus kita laksanakan, kalau janji gagal kita penuhi, apatah lagi perkara-perkara keperluan rakyat yang tidak ada dalam janji-janji kita,” katanya.
Beliau turut membangkitkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui BN selepas mengambil alih kepimpinan daripada Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Mac 2023.
Adly berkata, penjelasan mengenai status manifesto dan projek berkenaan penting bagi membolehkan pengundi menilai prestasi kerajaan negeri berdasarkan pencapaian sebenar, bukan sekadar angka yang diumumkan menjelang pilihan raya.



