Jalan baharu Seberang Jelai-Relong perkukuh akses luar bandar Pahang

LIPIS — Penduduk di sekitar Seberang Jelai dan Relong bakal menikmati kemudahan perhubungan lebih baik menerusi pembukaan laluan baharu yang dijangka memberi kesan positif terhadap mobiliti masyarakat serta pembangunan ekonomi setempat.

Projek sepanjang 6.95 kilometer (km) itu turut menjadi sebahagian usaha memperluas rangkaian infrastruktur jalan raya di Pahang, khususnya bagi meningkatkan hubungan antara kawasan pedalaman dengan laluan utama negeri.

Pengarah Menang Idaman Sdn Bhd (MISB), Mohd Tarmizi Mohd Zuki berkata, pembinaan laluan berkenaan merangkumi jalan empat lorong dan lima jambatan sebagai sebahagian daripada Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3 yang menghubungkan Gua Musang, Kelantan dengan Lipis, Pahang.

Menurutnya, kemudahan itu bakal memberi pilihan perjalanan tambahan kepada pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan kesesakan dan menjadikan perjalanan lebih efisien.

“Penambahbaikan akses jalan raya ini turut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi perhubungan yang lebih baik ke kawasan luar bandar selain memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian projek itu di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dengan kehadiran Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mengulas pelaksanaan projek itu, Mohd Tarmizi berkata, penyiapannya membawa makna besar kepada MISB memandangkan syarikat berkenaan terpaksa berdepan beberapa kekangan sepanjang kerja pembinaan dijalankan.

Antara cabaran yang dihadapi ialah kenaikan kos bahan binaan secara mendadak akibat ketidakstabilan ekonomi antarabangsa susulan konflik yang berlaku di Asia Barat.

“Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak sedikit pun menggugat komitmen MISB untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kami tetap berpegang pada komitmen asal untuk memastikan projek ini disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan tanpa berkompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan menyiapkan infrastruktur berkenaan bukan sekadar memenuhi sasaran pembinaan, sebaliknya perlu dilihat daripada sudut impak dan faedah yang dapat dinikmati masyarakat dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, MISB akan meneruskan sokongan terhadap inisiatif pembangunan infrastruktur kerajaan, terutama dalam mempertingkat kemudahan asas dan sistem perhubungan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat