KUALA LUMPUR – Peranan memelihara kewibawaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tanggungjawab kerajaan dan bukan pilihan politik.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata kerajaan tidak boleh mengambil sikap selektif kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak kedaulatan negara.
Beliau berkata kerajaan atau pihak mana sekalipun mempunyai kewajipan menyempurnakan titah Yang di-Pertuan Agonmg yang dibuat dengan teratur mengikut lunas perundangan negara.
Hamzah berkata, ia termasuk dalam hal-hal mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan bersabit pengampunan diraja, penangguhan atau peringanan sesuatu hukuman.
“Perlu ditegaskan apa-apa perlakuan ingkar, menafikan atau cuba meremehkan mana-mana titah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong oleh mana-mana pihak adalah adalah satu penderhakaan besar kepada Raja dan Negara,” katanya menurut kenyataan itu.
Beliau menganggap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya lebih memahami mengenai obligasi kerajaan menyempurnakan titah Seri Paduka Baginda.
“Tetapi beliau menyebut secara peribadi tidak bersetuju,” katanya.
Agensi-agensi media membuat laporan berita semalam UMNO mengesahkan segala proses pembayaran denda RM50 juta sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada sebelah pagi, sebagai syarat untuk Najib menjalani tahanan di rumah.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilapor menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Agong.
AGC dipetik berkata, penangguhan dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah itu khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib terhadap kes SRC International.


