Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, bekalan elektrik bukan lagi sekadar keperluan di rumah atau pejabat. Ketika bercuti, berkhemah di tengah alam, menghasilkan kandungan di lokasi terpencil mahupun berdepan gangguan bekalan elektrik, sumber tenaga yang boleh diharapkan pastinya memberikan lebih ketenangan.
Bayangkan berada di sebuah tapak perkhemahan yang jauh daripada kesibukan kota. Suasana cukup mendamaikan, udara segar dan pemandangan alam terbentang luas. Namun, dalam masa yang sama, telefon pintar perlu dicas, kamera perlu terus berfungsi dan beberapa peralatan elektronik lain memerlukan bekalan tenaga. Di sinilah peranan sebuah stesen kuasa mudah alih menjadi semakin penting.
Melihat kepada keperluan tersebut, DJI memperkenalkan DJI Power Auro 2000 Elite, sebuah stesen kuasa mudah alih generasi baru yang menggabungkan teknologi pengecasan moden dalam reka bentuk kompak. Menariknya, peranti ini bukan sekadar menawarkan kapasiti bateri yang besar, tetapi turut membawa pendekatan lebih praktikal untuk mereka yang mahukan kebebasan menggunakan tenaga elektrik di mana sahaja.
Dilancarkan pada 6 November 2026, DJI Power Auro 2000 Elite hadir sebagai stesen kuasa 2kWh paling kompak dalam barisan produk DJI. Dengan berat sekitar 19 kilogram, ia 24 peratus lebih kecil dan 14 peratus lebih ringan berbanding DJI Power 2000.
Saiznya yang lebih praktikal menjadikan peranti ini mudah disimpan di ruang bagasi kereta atau di sudut rumah tanpa memerlukan ruang yang terlalu besar. Reka bentuknya juga membolehkan unit diletakkan secara menegak atau mendatar, dengan susunan port pada satu sisi bagi memudahkan pengguna membuat sambungan.
Namun, perkara yang lebih menarik ialah bagaimana DJI berjaya menggabungkan beberapa kaedah pengecasan dalam satu peranti. Melalui konsep All-in-One, DJI Power Auro 2000 Elite dilengkapi lima kaedah pengecasan termasuk soket elektrik, pengecasan menggunakan bateri kereta, tenaga solar serta gabungan beberapa sumber tenaga secara serentak.
Bagi mereka yang gemar melakukan perjalanan jauh atau berkhemah, keupayaan mengecas menggunakan bateri kereta pastinya memberikan lebih fleksibiliti. Pengguna boleh menyambungkan peranti terus kepada bateri kenderaan untuk mendapatkan bekalan tenaga, dengan tempoh pengecasan penuh sekitar empat jam berdasarkan ujian DJI.
Lebih menarik, kehadiran modul solar MPPT terbina dalam membolehkan pengguna menyambungkan panel solar secara terus tanpa memerlukan modul tambahan. Dengan kedua-dua port SDC digunakan, input tenaga solar boleh mencapai sehingga 1,200W dan mengecas bateri sepenuhnya dalam kira-kira 2.7 jam berdasarkan keadaan ujian.
Ini bermakna, bagi mereka yang gemarkan aktiviti luar, cahaya matahari bukan lagi sekadar sumber pencahayaan semula jadi, malah boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan tenaga elektrik.
Dari segi prestasi, DJI Power Auro 2000 Elite menawarkan output kuasa stabil sehingga 2,000W menerusi teknologi gelombang sinus tulen. Ia juga mampu menyokong peralatan elektrik terpilih dengan keperluan kuasa sehingga kira-kira 2,200W.
Keupayaan ini membuka lebih banyak kemungkinan penggunaan, sama ada untuk menghidupkan peralatan ketika berkhemah, menyokong kerja penghasilan kandungan di lokasi penggambaran atau menjadi sumber kuasa sandaran apabila bekalan elektrik di rumah terputus.
Satu lagi ciri yang cukup menarik perhatian ialah kabel USB-C retractable terbina dalam yang menyokong pengecasan sehingga 140W. Tidak perlu lagi mencari kabel berasingan atau bersusah payah mengemas wayar yang berselirat selepas digunakan. Hanya tarik kabel apabila diperlukan dan ia boleh disimpan semula dengan lebih kemas.
Dua port SDC pintar pula membolehkan sambungan kepada pelbagai aksesori dan kabel penyesuai dalam ekosistem DJI. Ini menjadikan Power Auro 2000 Elite bukan sahaja berguna untuk mengecas peranti harian, malah boleh menjadi teman kepada pengguna dron yang memerlukan bekalan tenaga tambahan ketika menjalankan tugasan di luar.
Bagi penggemar fotografi udara, keupayaan mengecas bateri dron dengan pantas pastinya satu kelebihan. Dengan kabel pengecasan pantas SDC yang serasi, peranti ini menyokong pengecasan sehingga 240W untuk bateri DJI Mavic 4 Pro dan siri DJI Air 3. Bateri siri DJI Air 3, misalnya, boleh dicas daripada 10 peratus hingga 95 peratus dalam masa sekitar 30 minit berdasarkan ujian DJI.
Sudah tentu, sebuah stesen kuasa berkapasiti besar juga perlu hadir dengan ciri keselamatan yang meyakinkan. DJI Power Auro 2000 Elite menggunakan sel bateri LFP yang direka untuk ketahanan jangka panjang. Menurut DJI, baterinya mampu mengekalkan lebih 70 peratus kapasiti selepas 6,000 kitaran pengecasan, sekali gus menawarkan jangka hayat penggunaan yang boleh mencapai kira-kira 10 tahun berdasarkan corak penggunaan harian yang dinyatakan.
Perlindungannya turut diperkukuh dengan Sistem Pengurusan Bateri Pintar (BMS), 13 penderia suhu dan 40 fius terbina dalam. Sistem ini memantau keadaan peranti secara berterusan dan boleh menghentikan operasi secara automatik sekiranya mengesan keadaan luar biasa.
Bukan itu sahaja, badan peranti direka untuk menampung beban statik sehingga satu tan, manakala bahan perumah kalis api bertaraf 5VB memberikan perlindungan tambahan. Semua ini memperlihatkan bahawa DJI bukan hanya memberi perhatian kepada prestasi, tetapi turut menitikberatkan aspek keselamatan ketika produk digunakan dalam pelbagai keadaan.
Untuk kegunaan di rumah pula, ciri UPS yang mampu beralih kepada bekalan kuasa bateri dalam masa 0.01 saat menjadi antara kelebihan yang cukup berguna. Ketika berlaku gangguan elektrik, peranti penting yang disambungkan boleh terus menerima bekalan kuasa tanpa gangguan yang ketara.
Aplikasi DJI Home yang direka semula turut memudahkan pengguna memantau status bateri dan mengaktifkan Mod Pengecasan Semula Pantas hanya melalui satu ketikan. Malah, tahap bunyi di bawah 30dB ketika mengecas pada beban rendah menjadikannya lebih sesuai digunakan pada waktu malam tanpa menghasilkan bunyi yang mengganggu ketenteraman.
Bagi mereka yang memerlukan kapasiti lebih besar, DJI turut menyediakan pilihan pengembangan kapasiti sehingga 12kWh menggunakan bateri pengembangan terkecil DJI yang akan diperkenalkan pada masa hadapan. Ini memberikan ruang kepada pengguna untuk meningkatkan keupayaan bekalan tenaga mengikut keperluan masing-masing.
Secara keseluruhannya, DJI Power Auro 2000 Elite memperlihatkan bagaimana teknologi stesen kuasa mudah alih semakin berkembang untuk memenuhi gaya hidup yang lebih dinamik. Ia bukan lagi sekadar peralatan tambahan untuk aktiviti perkhemahan, sebaliknya boleh menjadi penyelesaian tenaga yang praktikal untuk kediaman, perjalanan dan tugasan profesional.
DJI Power Auro 2000 Elite kini ditawarkan di Malaysia pada harga RM6,509 menerusi rangkaian pengedar sah DJI Malaysia. Ia turut boleh didapati melalui DJI Online Store rasmi dengan pelbagai manfaat pembelian termasuk panduan pakar, sokongan teknikal, jaminan sehingga lima tahun, penghantaran percuma serta pulangan 5 peratus DJI Credit.
Untuk maklumat lanjut, layari https://www.dji.com/power-auro-2000-elite.


