Kerajaan Selangor tidak menjanjikan banjir hilang sekelip mata, 105 projek tebatan sedang dibina – Amirudin

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor tidak menjanjikan banjir hilang sekelip mata apatah lagi berhadapan isu perubahan iklim yang semakin ekstrem.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun menegaskan, hari ini, 105 projek rancangan tebatan banjir jangka panjang sedang bergerak di seluruh Selangor dengan kos RM4.28 bilion. Ia dirancang siap secara berperingkat kerana merupakan projek besar.

“Sementara projek besar dibina, Kerajaan Negeri tidak menunggu. Daripada 255 projek segera bernilai hampir RM70 juta di kawasan panas banjir kilat, 70 peratus sudah siap dan bakinya disasar selesai hujung tahun ini.

“Pada masa sama, Selangor dan Kuala Lumpur juga bergerak sekali dengan pelan lima langkah daripada menilai kapasiti Empangan Batu dan Klang Gate hingga mencari tapak kolam takungan baharu di hulu. Semua ini demi mengatasi banjir.

“Pada Disember 2024, Selangor menubuhkan pasukan petugas khas bersama Kerajaan Persekutuan dan PBT untuk memecahkan budaya kerja silo mengatasi banjir. Ini langkah penting menggabungkan semua pihak untuk satu matlamat iaitu Selangor mengatasi banjir,” jelas Amirudin dalam kenyataan pada Khamis.

Pun begitu, beliau menyatakan, banjir yang berlaku baru-baru ini diakibatkan oleh taburan hujan luar biasa yang mengatasi purata taburan hujan normal.

“Namun begitulah juga isu bekalan air bersih dahulu yang berjaya diselesaikan dengan rancangan jangka panjang.

“Alhamdulillah, sedar atau tidak, hari ini kita kurang mendengar rakyat Selangor merungut bekalan air yang tiada seperti satu masa dulu.

“Insya-Allah saya juga yakin dengan rancangan jangka panjang ini, Kerajaan Negeri sedang membina Selangor yang lebih beradaptasi menghadapi perubahan iklim.

“Dan buat yang terkesan pada masa ini, bantuan segera akan disediakan oleh Kerajaan Negeri buat mangsa-mangsa banjir.

“Komitmen Kerajaan Negeri menyelesaikan isu banjir sentiasa teratas merentasi tempat dan masa. Sama-sama kita berdoa agar Selangor sentiasa dilindungiNya,” ujar Amirudin.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat