KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan pempengaruh media sosial terkenal, Caprice tampil membuka peluang pekerjaan kepada penulis berita dan penulis kandungan susulan laporan mengenai kira-kira 100 kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang berdepan kemungkinan kehilangan pekerjaan menjelang Aidilfitri tahun depan.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, menerusi Instagram Story miliknya, berkongsi laporan Suara.TV bertajuk “100 Pekerja, Wartawan Utusan Malaysia, Kosmo Bakal Diberhentikan Menjelang Aidilfitri” yang diterbitkan pada Isnin.
Menariknya, beliau turut memuat naik mesej ringkas yang mengundang individu berkemahiran dalam bidang penulisan untuk menghubunginya.
“We are hiring copywriters and news writers! PM tepi,” tulisnya.
Kenyataan tersebut yang bermaksud beliau sedang mencari penulis kandungan dan penulis berita dilihat sebagai perkembangan positif ketika industri media tempatan berdepan cabaran kewangan dan penyusunan semula operasi.
Walaupun Caprice tidak menyatakan secara khusus bahawa peluang pekerjaan itu ditawarkan kepada kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang terjejas, tindakannya berkongsi laporan berkenaan bersama iklan pengambilan pekerja memberi gambaran bahawa beliau peka terhadap nasib pengamal media.
Terdahulu, Suara.TV melaporkan kira-kira 100 pekerja termasuk wartawan Utusan Malaysia dan Kosmo! berdepan kemungkinan ditamatkan perkhidmatan susulan langkah rasionalisasi operasi oleh Media Mulia Sdn Bhd.
Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan kakitangan kedua-dua akhbar berkenaan, khususnya mereka yang telah lama berkhidmat dalam industri kewartawanan.
Gerakan Media Merdeka (Geramm) turut menyatakan solidariti bersama pekerja yang terjejas dan menggesa pihak pengurusan Media Mulia mengutamakan rundingan serta meneroka pilihan lain sebelum melaksanakan sebarang pemberhentian.
Geramm juga mengingatkan bahawa transformasi digital tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengorbankan mata pencarian pekerja.
Industri media tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini berdepan perubahan ketara akibat peralihan pembaca dan pengiklan kepada platform digital, sekali gus memaksa organisasi berita menilai semula model perniagaan masing-masing.
Dalam keadaan tersebut, kemahiran wartawan dan penulis berita berpengalaman masih mempunyai nilai, khususnya dalam penghasilan kandungan digital, penulisan kreatif serta pengurusan platform media sosial.
Tindakan Caprice membuka peluang pekerjaan itu sekurang-kurangnya memberi satu lagi pilihan kepada mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang penulisan untuk meneroka peluang kerjaya baharu.
Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan jumlah kekosongan yang ditawarkan atau sama ada Caprice berhasrat memberikan keutamaan kepada kakitangan Utusan Malaysia dan Kosmo! yang bakal terjejas. – Suara.TV



