MELAKA: Tujuh muka baharu yang diketengahkan PKR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan perlu membuktikan kemampuan meraih kepercayaan pengundi melalui hubungan dengan masyarakat, kekuatan jentera dan agenda yang ditawarkan.
Pemangku Pengerusi PKR Melaka, Adam Adli Abd Halim berkata, kemenangan tidak hanya bergantung kepada nama atau daya tarikan peribadi seseorang calon.
Sebaliknya, beliau berkata, PKR perlu bekerja keras meyakinkan pengundi mengenai prinsip dan agenda reformasi yang diperjuangkan di peringkat Persekutuan supaya turut diterima di Melaka.
“Kemenangan di kerusi yang ditandingi bukan hanya bergantung kepada nama atau daya tarikan peribadi calon, tetapi juga hubungan mereka dengan masyarakat, kekuatan jentera kempen dan agenda yang ditawarkan.
“Semua orang bertanding dalam pilihan raya untuk menang, tetapi calon mesti memastikan mesej mereka disampaikan secara berkesan kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen, dengan mengutamakan kepentingan masyarakat dan pengundi,” katanya seperti dilaporkan Bernama.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program MADANI Kita bersama komuniti Ayer Keroh, Hang Tuah Jaya di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Putat, Batu Berendam, hari ini.
Adam Adli yang juga anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata, calon parti itu perlu memperlihatkan komitmen terhadap tadbir urus yang baik serta menjaga perilaku dan integriti diri ketika mendekati masyarakat.
PKR mempertaruhkan tujuh muka baharu daripada keseluruhan sembilan calonnya dalam PRN kali ini.
Mereka ialah Mohd Yunazri Mustamiri di Tanjung Bidara, Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan di Rembia, P Denesh di Asahan, Datuk Azman Abidin di Paya Rumput, Muhammad Hakimin Mokhtar di Ayer Molek, Esma Eazreen Husin di Rim dan Muhammad Faiq Azman di Serkam.
Dua lagi calon yang mempunyai pengalaman bertanding dalam pilihan raya ialah Farzana Hayani Mohd Nasir di Kelebang dan Datuk Ginie Lim Siew Lin di Machap Jaya.
Malam tadi, Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan 21 calon gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka, membabitkan sembilan calon PKR, tujuh DAP dan lima Amanah.



