Pelaburan RM218.5 bilion mesti beri manfaat kepada rakyat, bukan sekadar angka – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR – Pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion bagi separuh pertama tahun ini perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan lebih baik dan pertumbuhan perniagaan tempatan, bukan sekadar menjadi angka pencapaian ekonomi negara.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, persoalan paling penting setiap kali kerajaan mengumumkan nilai pelaburan ialah sejauh mana rakyat benar-benar menerima manfaat daripadanya.

“Pelaburan RM218.5 bilion. Besar angkanya. Tapi apa yang rakyat dapat?

“Bagi saya, itu soalan paling penting setiap kali kita umumkan angka pelaburan negara,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut beliau, golongan muda yang baru menamatkan pengajian mahu melihat peluang pekerjaan yang baik, manakala ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka mampu membina masa depan dengan pendapatan lebih selesa.

Pada masa sama, golongan peniaga turut mengharapkan kemasukan pelaburan baharu dapat membuka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

Tengku Zafrul berkata, Malaysia mencatatkan RM218.5 bilion pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pelaburan berkenaan dijangka mewujudkan lebih 99,000 peluang pekerjaan apabila projek yang diluluskan direalisasikan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kelulusan pelaburan semata-mata tidak mencukupi sekiranya projek berkenaan gagal dilaksanakan dan memberikan manfaat sebenar kepada ekonomi negara.

“Tapi kita tak boleh berhenti setakat meluluskan pelaburan. Kita kena pastikan kilang dibina, syarikat mula beroperasi, peluang pekerjaan diwujudkan dan perniagaan tempatan turut mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu turut menjadi penekanan utama dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah MIDA dan program permukiman pengurusan (Management Retreat) yang berlangsung minggu ini.

Menurut Tengku Zafrul, MIDA bakal menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60 pada tahun depan, sekali gus menjadi kesempatan untuk agensi berkenaan menilai pencapaian serta menambah baik pendekatan dalam menarik dan merealisasikan pelaburan.

Katanya, tema program permukiman kali ini, “Six Decades of Impact: Align, Elevate, Execute”, menekankan keperluan menetapkan matlamat yang jelas, meningkatkan prestasi dan memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga MIDA atas usaha mereka selama ini dan mahu kerjasama berpasukan terus diperkukuh daripada peringkat Lembaga Pengarah hingga kepada seluruh kakitangan.

“Sebab akhirnya, rakyat bukan nak dengar angka pelaburan semata-mata. Mereka nak rasa hasilnya dalam kehidupan seharian,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat