PUTRAJAYA — Fenomena El Nino yang sedang berlaku dijangka berterusan sehingga pertengahan 2027 dan diramal meningkat kepada kategori sangat kuat atau Super El Nino dari Oktober 2026 hingga Januari 2027, sekali gus meningkatkan risiko cuaca kering dan kebakaran di Malaysia.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan anomali suhu bagi fenomena itu berpotensi melebihi 2.0 darjah celsius.
Menurutnya, keadaan cuaca ekstrem berkenaan dijangka mempengaruhi taburan hujan dan suhu permukaan negara, termasuk ketika Monsun Timur Laut yang bermula pada penghujung Oktober ini.
“Fenomena cuaca ekstrem ini membawa impak rantaian yang ketara kepada taburan hujan dan suhu permukaan negara. MetMalaysia mengunjurkan bahawa Monsun Timur Laut yang bermula pada penghujung Oktober 2026 akan mencatatkan jumlah hujan yang berkurangan daripada nilai purata klimatologi, khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung, Perak dan Sabah,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod fenomena Super El Nino 2015/2016, pengurangan taburan hujan boleh mencecah sehingga 30 peratus di Semenanjung Malaysia dan 45 peratus di Sabah.
Keadaan kering berpanjangan itu berpotensi meningkatkan risiko kebakaran hutan, tanah gambut dan jerebu rentas sempadan, selain memberi kesan kepada sektor pertanian serta bekalan air negara.
“Pengurangan taburan hujan dan fenomena gelombang haba yang ekstrem ini bakal menjadi pemangkin kepada krisis rantaian berskala besar.
“Suhu kering berpanjangan bukan sahaja meningkatkan risiko pembakaran hutan, tanah gambut dan jerebu rentas sempadan secara mendadak, malah ia turut mengancam kelangsungan sektor pertanian, krisis bekalan air di empangan, lonjakan permintaan tenaga elektrik, serta mendatangkan risiko strok haba kepada kesihatan awam,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di 68 stesen kualiti udara bagi tempoh 3 Ogos hingga 16 Oktober 2026 menunjukkan 28.87 peratus kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat, manakala 0.90 peratus berada pada tahap sangat tidak sihat dan 0.36 peratus pada tahap berbahaya.
Antara kejadian yang mencatatkan bacaan tinggi ialah di Serian, Sarawak, yang merekodkan IPU 519 pada 4 September lalu, manakala Stesen Batu Pahat, Johor mencatatkan bacaan 196 pada 6 Oktober.
Arthur berkata, keadaan itu memerlukan kesiapsiagaan berterusan daripada agensi kerajaan, khususnya dalam pemantauan kualiti udara dan pencegahan kebakaran di kawasan berisiko tinggi.
Bagi tempoh 3 Ogos hingga 16 Oktober 2026, JAS mengambil 3,433 tindakan penguatkuasaan susulan 2,361 aduan pembakaran terbuka, termasuk pengeluaran arahan di lapangan, notis amaran dan kompaun serta tindakan mahkamah.
Pemantauan turut dijalankan menerusi rondaan darat dan penerbangan dron, selain pembangunan infrastruktur pencegahan kebakaran tanah gambut.
Dalam pada itu, orang ramai digesa mendapatkan bacaan kualiti udara melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), yang memantau enam pencemar utama termasuk PM2.5, PM10, ozon, nitrogen dioksida, sulfur dioksida dan karbon monoksida.
Beliau berkata, maklumat rasmi itu penting bagi membantu orang ramai memahami tahap pencemaran udara dan mengambil langkah perlindungan sewajarnya, khususnya ketika bacaan IPU berada pada tahap tidak sihat atau lebih tinggi.
Kerajaan akan terus memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi cuaca kering dan risiko kebakaran, dengan perlindungan kesihatan serta kesejahteraan rakyat kekal sebagai keutamaan dalam menangani krisis jerebu.



