Larangan Waze tidak cukup, PEACE gesa kerajaan haramkan sepenuhnya di Malaysia

KUALA LUMPUR – Yayasan Pusat Polisi dan Hal Ehwal Ekonomi Malaysia (PEACE) menggesa kerajaan mempertimbangkan pengharaman sepenuhnya aplikasi navigasi Waze di Malaysia sekiranya ia benar-benar dikenal pasti membawa risiko terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Pengerusinya, Mohd Jamizal Zainol berkata, keputusan kerajaan melarang penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam ketika menjalankan tugas rasmi merupakan langkah tepat, namun tindakan itu tidak seharusnya terhenti setakat sektor awam sahaja.

Menurut beliau, keselamatan negara tidak boleh dikompromikan, khususnya dalam menghadapi ancaman keselamatan siber, penyalahgunaan data dan kemungkinan pendedahan maklumat geolokasi yang mempunyai nilai strategik.

“Sekiranya aplikasi tersebut benar-benar dikenal pasti membawa risiko terhadap keselamatan negara, maka langkah yang lebih tegas, menyeluruh dan berkesan ialah mengharamkan serta menyekat akses kepada aplikasi Waze di seluruh Malaysia.

“Kedaulatan negara adalah prinsip tertinggi yang wajib dipertahankan, mengatasi kepentingan komersial mana-mana syarikat teknologi asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, kerajaan melalui surat Ketua Setiausaha Negara bertarikh 20 Oktober 2026 mengarahkan larangan penggunaan Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam ketika menjalankan tugas rasmi, susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, larangan itu tidak meliputi penggunaan peribadi penjawat awam di luar tugas rasmi, manakala orang awam dan pekerja sektor swasta masih dibenarkan menggunakan aplikasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd Jamizal berkata, PEACE berpandangan bahawa pendekatan China dalam mengawal akses kepada aplikasi dan platform teknologi asing atas pertimbangan keselamatan serta kedaulatan digital wajar dijadikan antara model rujukan Malaysia.

Katanya, setiap negara berdaulat mempunyai hak menentukan teknologi asing yang dibenarkan beroperasi dalam wilayah masing-masing, khususnya apabila teknologi berkenaan berpotensi mengumpulkan data pergerakan, lokasi strategik dan corak mobiliti pengguna.

“Dalam era peperangan maklumat, pengintipan digital dan persaingan geopolitik, data bukan lagi sekadar komoditi ekonomi, sebaliknya telah menjadi aset strategik yang boleh mempengaruhi keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara,” katanya.

Sehubungan itu, PEACE menggesa kerajaan mengarahkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan penilaian keselamatan menyeluruh terhadap aplikasi navigasi asing yang mengumpul serta memproses data geolokasi pengguna Malaysia.

Pertubuhan itu turut mencadangkan supaya kerajaan menggubal dasar keselamatan data geolokasi nasional bagi mengelakkan maklumat strategik negara terdedah kepada risiko pengumpulan, pemindahan atau eksploitasi oleh pihak asing.

Pada masa sama, PEACE mahu pembangunan aplikasi navigasi tempatan diperkukuh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi asing, dengan memastikan perlindungan data pengguna berada di bawah kawal selia Malaysia.

Mohd Jamizal menegaskan bahawa gesaan tersebut bukan bermaksud menolak kemajuan teknologi atau kerjasama antarabangsa, sebaliknya memastikan penggunaan teknologi asing sentiasa mengambil kira kepentingan nasional.

“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna pasif teknologi asing tanpa mempunyai keupayaan untuk mengawal implikasinya terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

“Larangan yang terhad kepada penjawat awam sahaja tidak semestinya memadai untuk menangani risiko keselamatan yang bersifat nasional,” katanya.

Beliau turut menyeru kerajaan memperlihatkan kesungguhan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan digital Malaysia melalui dasar yang jelas serta tindakan yang berkesan.

“Kedaulatan negara tidak boleh dipertahankan dengan tindakan separuh jalan. Jika ancamannya bersifat nasional, maka penyelesaiannya juga mestilah bersifat nasional,” tegasnya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat