PERAK – Bulan Kesedaran Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri Perak 2026 perlu menjadi pemangkin kepada usaha memperluas peluang dan memperkasa komuniti berkenaan secara berterusan, bukan sekadar acara tahunan.
Isteri Menteri Besar Perak merangkap Yang Dipertua Baiduri Perak, Datin Seri Aezer Zubin berkata, usaha itu perlu memberi tumpuan kepada potensi, kebolehan, bakat dan sumbangan golongan OKU kepada keluarga, masyarakat serta negeri.
Menurut beliau, perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi alasan untuk seseorang diketepikan, sebaliknya masyarakat perlu menyediakan persekitaran yang memahami keperluan serta menghormati hak mereka.
“Dalam kehidupan bermasyarakat, perbezaan keupayaan tidak seharusnya menjadi sebab seseorang itu diketepikan. Sebaliknya, perbezaan inilah yang sepatutnya mengajar kita untuk membina sebuah masyarakat yang lebih prihatin, lebih memahami keperluan mereka, menghormati hak mereka, menyediakan ruang dan peluang untuk mereka menikmati hidup seperti orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Kesedaran OKU Negeri Perak 2026 di Dewan Bankuet, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, hari ini.
Aezer berkata, akses golongan OKU kepada pendidikan, latihan kemahiran, pekerjaan dan keusahawanan perlu terus diperluas, seiring peluang menyertai aktiviti sosial, sukan serta kesenian.
Pada masa sama, katanya, keluarga dan penjaga perlu menerima sokongan sewajarnya bagi membantu golongan itu membina kehidupan yang lebih berdikari.
Beliau turut menekankan peranan ibu bapa dan penjaga sebagai sumber kekuatan kepada anak-anak OKU dengan memberikan mereka peluang untuk belajar serta mengembangkan kebolehan masing-masing.
“Jangan melihat kekurangan sebagai penghalang kepada masa depan mereka. Berikan mereka peluang untuk mencuba, ruang untuk belajar dan keyakinan untuk berdikari,” katanya.
Aezer turut menyeru komuniti OKU di Perak supaya terus melangkah, berkarya, belajar dan mencuba tanpa membiarkan pandangan orang lain menentukan batas kemampuan mereka.
“Anda bukan sekadar sebahagian daripada masyarakat. Anda adalah sebahagian daripada kekuatan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pendaftar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, Bulan Kesedaran OKU tahun ini berlangsung dari 1 Oktober hingga 6 November dengan pelbagai program yang menekankan penglibatan langsung komuniti berkenaan.
Menurut beliau, program itu dianjurkan bersama Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak) serta Pusat Kajian Inklusif bagi Komuniti dan Orang Kurang Upaya (CIRCLE) UPSI, dengan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Antara pengisian yang dianjurkan termasuk pertandingan trivia OKU-Thon, pertandingan pidato mahasiswa OKU, pertandingan bercerita bahasa isyarat serta pertandingan TikTok Kesedaran yang bertujuan menyebarkan mesej kesedaran mengenai kemudahan dan keperluan OKU kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kerajaan Perak terus menggerakkan agenda OKU melalui penyelarasan pelbagai pihak.
Katanya, usaha itu turut dilaksanakan menerusi Majlis Tindakan OKU Negeri Perak dan jawatankuasa kerjanya bagi memastikan isu serta keperluan komuniti berkenaan dibincangkan secara lebih tersusun.


