MHLife 2026 berlangsung 23-25 Oktober ini, cerminkan potensi besar pasaran pelancongan Muslim

Oleh Zihan Zari

KUALA LUMPUR – Malaysia Halal Lifestyle Festival (MHLife) 2026 bakal menghimpunkan pelbagai tarikan gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim apabila berlangsung di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam pada 23 hingga 25 Oktober ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa berkata, penganjuran MHLife 2026 mencerminkan potensi besar Malaysia dalam pasaran pelancongan Muslim.

“Pada 2025, Malaysia menerima 9.7 juta pelancong Muslim, jumlah tertinggi yang pernah direkodkan dan angka ini dijangka meningkat kepada 15 juta menjelang 2030.

“Perkembangan ini memberi peluang kepada Malaysia untuk terus memperkukuh kedudukan dalam pasaran ini, selain memberi manfaat kepada pemain industri pelancongan, komuniti tempatan dan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra-Pelancaran MHLife 2026, di Selasar Pualam, Istana Budaya dekat sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) MOTAC, Datuk Surrendren Sathasivam; Ketua Pembangunan Perniagaan RHB Islamic Bank Berhad, Ishak Othman; Pengarah Urusan Mohd Chan Group Berhad, Datuk Wira Mustafa Chan Chee Wei; Pengarah Produksi Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof; Ketua Pegawai Perancangan Strategik Kumpulan Siti Khadijah Group, Mohamad Muhaimin Aminuddin; dan Setiausaha Bahagian Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) & Bahagian Kerjasama Serantau, Kementerian Luar Negeri, Amizal Fadzli Rajali.

Choon Hwa berkata, dengan Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang sedang berlangsung dan Sukan SEA 2027 bakal menyusul, MHLife 2026 menyediakan satu lagi platform nasional untuk mengetengahkan kekuatan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

Terdahulu, Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC), Mohammad Faisal Abu Suaib Khan berkata, kita perlu melihat pelancongan mesra Muslim daripada perspektif yang llebih menyeluruh.

“Ia bukan hanya tertumpu kepada satu produk atau perkhidmatan, tetapi merangkumi keseluruhan pengalaman pelancong sepanjang berada di sesuatu destinasi.

“Ini termasuk makanan yang dinikmati, tempat penginapan, destinasi yang dilawati, barangan yang dibeli, pengalaman baharu yang diterokai dan interaksi dengan masyarakat setempat,”katanya.

Dalam perkembangan sama, MHLife 2026 diraikan sebagai festival gaya hidup dan pelancongan mesra Muslim premier negara, ianya merupakan sebahagian daripada Islamic Tourism Month (ITM) 2026 anjuran ITC, agensi di bawah MOTAC yang bertanggungjawab membangunkan segmen pelancongan Islam di Malaysia.

Festival ini turut mendapat sokongan rasmi daripada rakan-rakan strategik RHB Islamic Bank Berhad, Mohd Chan Group Berhad, Siti Khadijah Group dan Istana Budaya.

MHLife 2026 turut memberi pendedahan yang lebih luas tentang destinasi dan perniagaan tempatan, menggalakkan aktiviti pelancongan serta memperlihatkan kaitan antara kekuatan industri halal Malaysia dengan sektor pelancongan, hospitaliti, budaya dan gaya hidup.

Bertemakan ‘Rasa, Gaya, Warisan, MHLife 2026’ membawakan konsep ‘Taste Malaysia, Wear Malaysia, Experience Malaysia’ dengan mengetengahkan cita rasa, kreativiti dan tradisi yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

Dalam majlis itu, ITC turut mengumumkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Malaysian Association of Hotels (MAH) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pengiktirafan dan nilai pasaran Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), memperkukuh keupayaan industri melalui latihan serta melaksanakan inisiatif promosi dan penglibatan industri secara bersama.

MHLife 2026 mengajak pengunjung dan orang ramai meneroka 16 pavilion yang mewakili 13 negeri dan tiga Wilayah Persekutuan, selain menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman, jenama tempatan, persembahan kebudayaan serta aktiviti interaktif sepanjang festival.

Selain itu, MHLife 2026 turut menawarkan pelbagai program dari bidang pelancongan mesra Muslim, kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, aktiviti keluarga, beli-belah, pertandingan serta hiburan secara langsung. Antara tarikan utama, Harmony Night Concert, yang akan menampilkan barisan penghibur tempatan menerusi persembahan kontemporari dan tradisional.

Maklumat lanjut mengenai vendor, program, persembahan, aktiviti dan tarikan MHLife 2026 akan diumumkan dari semasa ke semasa menjelang festival.

Peluang berterusan untuk perniagaan tempatan MHLife 2026 bukan sekadar platform selama tiga hari, malah turut membuka peluang kepada perniagaan tempatan untuk mendapat pendedahan yang berterusan.

Semua vendor yang menyertai MHLife 2026 akan disenaraikan secara automatik dalam Direktori Pelancongan Mesra Muslim rasmi ITC, sekali gus membolehkan perniagaan mereka terus ditemui oleh pengguna dan pelancong selepas festival berakhir.

Direktori ini turut membantu memperluas pilihan produk, perkhidmatan dan pengalaman mesra Muslim yang boleh diterokai di seluruh Malaysia.

Permohonan penyertaan vendor kini dibuka kepada perniagaan dalam bidang makanan dan minuman, fesyen sopan, kecantikan dan kesejahteraan, kraftangan, pelancongan mesra Muslim, produk gaya hidup serta kategori berkaitan. Perniagaan yang berminat boleh mendaftar di www.mhlife.com.my.

Kemasukan adalah percuma, untuk perkembangan terkini program, aktiviti dan pengumuman MHLife 2026, layari www.mhlife.com.my dan ikuti platform media sosial rasmi MHLife 2026 di Facebook: Malaysia Halal Lifestyle Festival; Instagram: @mhlife.festival dan TikTok:@mhlife.festival. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat