KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memohon siasatan terhadap peranan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbezaan RM2.1 bilion antara peruntukan diluluskan dan perbelanjaan sebenar Program Jalan Luar Bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
“Aduan rasmi itu kini telah dibuat. SPRM mesti menunaikan kenyataannya dan memulakan siasatan secara bebas,” katanya dalam kenyataan media di Facebook beliau.
Pemimpin DAP itu berkata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman, pada 1 Oktober lalu berkata badan itu hanya mengetahui isu berkenaan melalui laporan media dan akan bertindak selepas menerima aduan rasmi.
Zhemin memaklumkan laporan itu dibuat di Pejabat SPRM Kuala Lumpur.
Terdahulu beliau merujuk data Kementerian Kewangan yang menunjukkan KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Jumlah perbezaan antara peruntukan dan perbelanjaan bagi tempoh tiga tahun itu ialah RM2.1 bilion.
Menurut Zhemin, peruntukan KKDW bagi 2026 pula hampir habis digunakan menjelang Jun, menyebabkan kontraktor menghadapi kesukaran mendapatkan bayaran.
Kementerian Kewangan kemudian meluluskan tambahan RM300 juta dan mula mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung komitmen KKDW yang melebihi had.
“Jika KKDW tidak berbelanja melebihi sumber kewangan yang tersedia, Zahid mesti menjelaskan mengapa kontraktor yang telah menyiapkan kerja tidak dibayar, dan mengapa Kementerian Kewangan terpaksa menyediakan tambahan RM300 juta serta mencari penjimatan daripada kementerian lain.
“Saya mahu SPRM menentukan sama ada kontrak dan komitmen kewangan dibuat sebelum pembiayaan mencukupi diluluskan secara sah, dan sama ada sesiapa menyalahgunakan kedudukan untuk mengarah atau meluluskannya.
“Siasatan itu juga perlu meneliti kemungkinan ketidakteraturan dalam pemilihan kontraktor, pemberian kontrak, pengesahan pembayaran dan rekod kewangan,” katanya.
Pertikaian berhubung perkara itu tercetus pada akhir Ogos apabila Zahid meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengagihan dana dan menggesa supaya kontraktor yang telah menyiapkan kerja dibayar segera.
Pada 2 Sept, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, berkata tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan jalan luar bandar KKDW dan dana itu telah disalurkan sepenuhnya.
Beliau berkata kesukaran membayar kontraktor berlaku kerana KKDW telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan sejak 2022, selain peruntukan 2026 yang hampir habis.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Sept meminta kedua-dua kementerian menyelesaikan perkara itu melalui perbincangan.
Pada 7 Sept, Zahid berkata KKDW tidak akan berbelanja melebihi peruntukan yang diluluskan kerajaan.
Chong sebelum ini turut mempersoalkan mengapa kontraktor tidak dibayar sekiranya KKDW tidak berbelanja melebihi had.
Pada 30 Sept, Penasihat DAP Lim Guan Eng pula menggesa SPRM menyiasat Zahid dan membandingkan perkara itu dengan tindakan agensi berkenaan dalam kes UiTM Holdings.
Setiausaha Politik Zahid Datuk Razlan Rafii, kemudian menyelar desakan Lim dan mendakwa ia bermotifkan politik menjelang pilihan raya negeri Melaka.



