KOTA BHARU – Pihak Polis sedang mengenal pasti dan memburu seorang lelaki yang disyaki ada kaitan dengan kejadian perbuatan khianat di Masjid Al-Aziz Al-Hadi di Kota SRR Warisan di Tumpat, Kelantan semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie dalam satu kenyataan berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid itu menunjukkan seorang lelaki dipercayai terlibat melakukan perbuatan itu.
Kejadian berlaku pada pukul 6.35 pagi dan anggota Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan.
“Pemeriksaan awal mendapati pintu kaca masjid telah dipecahkan selain terdapat cecair berwarna coklat kehijauan dan berbau kurang menyenangkan dituang pada karpet di ruang solat.
“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 295 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk kenal pasti suspek, motif kejadian seerta jumlah kerosakan atau kerugian yang terlibat.
Beliau berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan. Maklumat boleh disalurkan terus kepada Bilik Gerakan IPD Tumpat menerusi talian 09-725 6226,” katanya.



