Inovasi TVET gegar peringkat global : 58 projek kreatif pelajar POLIMAS cari tempat di pasaran dunia

Oleh Zihan Zari

JITRA – Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) telah membuktikan keupayaannya sebagai institusi pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia apabila berjaya menghimpunkan 58 projek inovasi digital, termasuk 16 penyertaan daripada institusi antarabangsa, menerusi pameran Information Communication Technology Exhibition 2026 (ICTeX’2026).

Kemahiran akademik semata-mata tidak lagi mencukupi dalam era ledakan teknologi hari ini. ICTeX bukan sekadar sebuah pameran akademik atau pertandingan projek. Ini adalah platform kritikal yang menterjemahkan ilmu kelas kepada situasi dunia sebenar, kata Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) POLIMAS, Hamizi Yahya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan ICTeX’2026
di Dewan Sri Mas, dekat sini baru-baru ini.

Katanya lagi, kehadiran elemen antarabangsa melalui rangkaian bersama institusi luar negara amat penting untuk memastikan pelajar POLIMAS mempunyai minda yang luas serta bersedia mendepani kehendak industri global.

ICTeX’2026 anjuran Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (JTMK) POLIMAS ini telah berlangsung dengan penuh prestij secara hibrid (atas talian dan bersemuka). Ia menjadi bukti komitmen padu institusi dalam melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah holistik, kompetitif dan berjiwa keusahawanan global.

Pada pameran kali ini menyaksikan persaingan sengit dan kualiti hasil kerja yang tinggi apabila 24 projek tempatan (41.4%) berjaya merangkul anugerah ‘Gold’ dengan memperoleh markah melebihi 85 markah.

Baki projek lain turut menunjukkan standard yang membanggakan dengan 18 projek menerima ‘Silver’ dan 16 lagi mendapat ‘Bronze’. Bagi kategori inovasi antarabangsa pula, 5 projek disematkan anugerah emas, 6 perak, dan 5 gangsa.

Ketua Juri, Norheeza Mohd Zaidin berkata, projek-projek yang dipertandingkan kali ini sangat dinamik kerana banyak mengaplikasikan teknologi terkini.

Katanya, sebahagian besar sistem berasaskan web yang dihasilkan turut memaparkan elemen baharu, sekali gus mencerminkan usaha kendiri pelajar dalam meneroka ilmu di luar skop bilik darjah bagi menyelesaikan masalah dunia sebenar.

ClenTra Juara ICTeX’2026, Bawa Pulang RM250

Projek yang memenangi tempat pertama ialah ClenTra (Service Management System). Kejayaan cemerlang itu membolehkan kumpulan ini membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM250 yang telah disumbangkan oleh Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah Berhad (KGMKB).

ClenTra dibangunkan khusus untuk premis perniagaan Cuci Shoes Jitra bagi menambah baik dan mendigitalkan proses pengurusan servis mereka yang sebelum ini dilaksanakan secara manual.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, wakil kumpulan, Balqis Batrisyia Muhd Asyraf menyuarakan rasa syukur dan berkongsi objektif utama inovasi mereka.

Katanya, proses sedia ada di kedai tersebut melibatkan pendaftaran maklumat pelanggan, pengurusan rekod servis serta penghantaran mesej WhatsApp secara manual, yang memerlukan masa lama dan berisiko tinggi menyebabkan kesilapan maklumat.

“Melalui ClenTra, staf kini boleh mengurus tempahan dan servis pelanggan, manakala pentadbir dapat memantau kadar harga serta akaun pekerja dengan lebih sistemik, ”katanya lagi.

Antara fungsi utama yang disediakan oleh sistem pintar ini ialah notifikasi WhatsApp automatik, peringatan pengambilan kasut, sejarah tempahan dan program ganjaran kesetiaan pelanggan.

Dibangunkan menggunakan metodologi Rapid Application Development (RAD), sistem ClenTra dijangka dapat meningkatkan kecekapan operasi kedai, memudahkan pengurusan rekod serta meningkatkan kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.

Projek berimpak tinggi ini dihasilkan oleh Balqis Batrisyia Muhd Asyraf, Fatin Dhaniyah Muhamad Hazamuddin, dan Intan Umairah Muhamad Zuhairi di bawah seliaan pensyarah, Azrul Nizah Yussof.

MamaAI dan MachMarketHub Rangkul Hadiah RM150 dan RM100

Kecemerlangan pameran turut diteruskan oleh pemenang tempat kedua iaitu Kumpulan MamaAI menerusi projek mereka, MamaAI: An Antenatal Insight Pregnancy Companion System.

Inovasi sokongan kehamilan digital yang interaktif ini membolehkan mereka memenangi hadiah wang tunai RM150 hasil rekaan penuh kreatif oleh Anis Najiha Abd Rahman, Noor Farisyah Aqila Mohd Farid, dan Saidatul Syakirah Mohd Aris.

Manakala tempat ketiga disandang oleh Kumpulan MachMarketHub yang tampil membangunkan MachMarketHub: Platform pasaran digital interaktif.

Platform yang berpotensi besar merancakkan aktiviti perniagaan digital ini membawa pulang hadiah wang tunai RM100 hasil buah fikiran Nia Azalea Muhd Riduan, Nur Farisha Izzati Rohaizat, dan Sharifah Alya Maisarah Syed Murzaini. Kedua-dua hadiah kemenangan ini turut ditaja sepenuhnya oleh KGMKB.

Dalam perkembangan sama, ICTeX’2026 turut diperkasakan dengan empat acara utama (pocket events), termasuk International Webinar: POLYCC Go Global yang menghubungkan rakan strategik dari Indonesia seperti ITBA Malang dan Universiti Harapan Medan.

Di samping itu, pengisian seperti Executive Talk daripada tokoh industri Loft & Brown Global serta Husainy Group Sdn Bhd, slot Alumni daripada Puncak Tegap Sdn. Bhd. berkaitan Kecerdasan Buatan (AI), serta aktiviti gerai keusahawanan Cyberpreneurship turut memberi nilai tambah yang besar kepada para pelajar.

Penganjuran ICTeX’2026 bertemakan ‘Innovate Today, Impact Tomorrow’ jelas membuktikan bahawa kolaborasi erat antara pihak akademia, industri, dan komuniti global mampu membina ekosistem teknologi yang dinamik demi memacu masa hadapan negara. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat