KUALA LUMPUR – Satu peruntukan untuk melantik golongan bekas tentera menjadi warden sepenuh masa di sekolah berasrama perlu diwujudkan jika negara masih bercaya dan mahu meneruskan sistem sekolah berasrama untuk mengurangkan beban guru.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata selain itu, sistem kamera litar tertutup (CCTV) juga perlu dipasang di semua sekolah asrama.
Beliau berkata semua langkah itu wajar diberikan pertimbangan sekiranya kerajaan mahu mengekalkan sistem sekolah berasrama sebagai sebahagian dari sistem pendidikan negara.
“Suka atau tidak, jika kita masih percaya dan mahu teruskan sistem sekolah berasrama, Kerajaan mesti menyediakan peruntukan untuk lantik Warden Sepenuh Masa bekas Tentera untuk kurangkan beban guru dan CCTV di semua sekolah asrama,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial Facebook.
Cadangan Dr Asyraf itu dilihat untuk mengambil langkah memperkukuh pemantauan di sekolah berasrama terutama terhadap isu disiplin, buli dan keselamatan pelajar.
Sebelum ini, beliau pernah mengumumkan MARA akan melantik warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara bermula 1 Januari tahun depan untuk memantapkan lagi aspek disiplin dan keselamatan pelajar.
Sebelum ini, dalam projek awal warden sepenuh masa yang dilantik dari anggota bekas tentera menjalankan tugas mereka di MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.



