KUALA LUMPUR — Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham membidas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyifatkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘bacul’ dan ‘lempar batu sembunyi tangan’.
Hilman berkata, tuduhan itu sepatutnya ditujukan kepada Takiyuddin sendiri susulan tindakan tidak menjemput Muhyiddin dan Bersatu ke mesyuarat PN pada 16 Julai lalu.
“Yang bacul itu kamu, Takiyuddin Hassan. Bacul tu bila kamu tak berani nak jemput Tan Sri Muhyiddin dan BERSATU untuk mesyuarat PN. Mungkin sebab mesyuarat sebelumnya, bila kamu buat di Pejabat PAS, kamu ingat Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu tidak akan hadir.
“Tapi silap, Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu tetap hadir dengan berani,” katanya ketika dihubungi Suara TV hari ini.
Menurut Hilman, alasan bahawa Bersatu tidak dijemput susulan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 15 Julai untuk tidak menggunakan logo PN bukan alasan yang munasabah, malah didakwa bercanggah dengan perlembagaan PN.
“Soalnya Bersatu sebagai ahli Perikatan Nasional, itu mesti dijemput. Itu perlembagaan. Dalam perlembagaan Perikatan Nasional jelas bahawa setiap ahli parti komponen perlu dijemput untuk bermesyuarat dan menyampaikan suara mereka.
“Tak ada dalam perlembagaan bahawa kalau ada mana-mana ahli yang buat keputusan selain daripada yang lain, tak payah dijemput,” katanya.
Hilman turut mempersoalkan alasan yang diberikan Takiyuddin berhubung perkara itu, termasuk dakwaan mengenai isu korum serta keputusan Bersatu sehari sebelum mesyuarat.
“Sekejap dia kata dia tak panggil Bersatu sebab Bersatu tak cukup korum. Lepas tu dia kata tak jemput Bersatu sebab sehari sebelum itu Bersatu dah ada keputusan. Lepas tu dia kata orang bacul. Jadi jangan ubah-ubah alasan.
“Semua yang dia cakap itu akhirnya balik kepada diri dia. PN itu hancur disebabkan PAS dan Takiyuddin Hassan,” katanya.
Mengulas surat yang dikatakan dihantar Takiyuddin kepada Bersatu pada 14 Julai berhubung isu korum, Hilman berkata Bersatu tidak mempunyai kewajipan untuk menjawab surat berkenaan kerana Takiyuddin bukan pihak berkuasa yang mengawal urusan parti itu.
“Kalau ROS tulis surat itu, minta penjelasan, perlulah kami jawab. Dia siapa? Dia Setiausaha Agung PAS, dia jagalah urusan PAS. Kami Bersatu, kami jaga urusan Bersatu. Soal PN, dia uruslah PN.
“Dia tak perlu tanya pada kami untuk minta kami jawab, dan tak ada sebab pun dalam perlembagaan dan juga Akta Pertubuhan yang menyatakan bahawa kami kena jawab kepada dia. Kami hanya perlu jawab kepada ROS,” katanya.
Sementara itu, Hilman menjelaskan tindakan Bersatu membuat aduan kepada ROS adalah susulan dakwaan berlaku pelanggaran terhadap perlembagaan PN dan isu tadbir urus dalam gabungan berkenaan.
“Sebab terdapat pelanggaran tentang perlembagaan PN. Setiap satu urusan itu masih diuruskan dengan perlembagaan, dengan urus tadbir. Apabila hak kami Bersatu dinafikan, tentulah kami kena buat laporan. Takkanlah kami dipijak, kami nak tadah. Dia jangan ingat dia Setiausaha Agung, kami tak berani lawan,” katanya.



