PUTRAJAYA — Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mempersoalkan gesaan supaya beliau meletakkan jawatan susulan tindakan kerajaan menggantung perkhidmatan MYEG sebagai ejen kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Beliau berkata, MYEG merupakan pihak yang gagal menyalurkan hasil kutipan kepada kerajaan sehingga menyebabkan tunggakan berjumlah RM314 juta, namun beliau pula yang diminta mengambil tanggungjawab dengan meletakkan jawatan sebagai menteri.
“Dalam media sosial pula, apabila tindakan diambil, saya pun hairan.
“Ceplos Ceplos itu minta saya letak jawatan pula. Yang tak bayar, syarikat. Yang diminta diambil tindakan ialah menteri. Apa punya logik ini?,” katanya dalam sidang media disini , hari ini.
Dalam pada itu, ketika ditanya wartawan sama ada MYEG dimiliki oleh UMNO, Loke berkata perkara tersebut perlu ditanyakan kepada pihak syarikat berkenaan.
Beliau menegaskan kerajaan tidak menjadikan kaitan politik sebagai pertimbangan dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat atau ejen kutipan hasil kerajaan.
“Anda perlu bertanya kepada mereka. Saya tidak mahu mengaitkan perkara ini dengan mana-mana parti politik. Peranan saya di sini adalah untuk melayan setiap syarikat dan setiap ejen secara sama rata. Mereka berkaitan dengan pihak mana sekalipun, itu tidak relevan kepada saya.”
Loke berkata, apa yang menjadi pertimbangan kerajaan adalah fakta berhubung tunggakan hasil kerajaan dan kewajipan yang gagal dipenuhi oleh pihak berkenaan.
“Satu yang pasti, ia tidak ada kaitan dan tidak ada kena-mengena dengan parti saya. Tetapi berkaitan dengan parti mana, itu bukan pertimbangan saya. Itu bukan pertimbangan kami.
“Kami melihat kepada fakta. Faktanya ialah ada tunggakan. Sekiranya terdapat tunggakan yang sepatutnya menjadi obligasi kepada kerajaan tetapi tidak dipenuhi, tindakan perlu diambil,” katanya.



