MOT gantung MYEG, Zetrix AI sebagai ejen pemungut hasil JPJ

PUTRAJAYA — Kementerian Pengangkutan (MOT) menggantung perkhidmatan pembayaran melalui saluran MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan syarikat berkenaan memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Bermula 19 Mei 2026 sehingga 30 September 2026, jumlah keseluruhan tuntutan terhadap syarikat-syarikat tersebut adalah sebanyak RM314 juta, melibatkan kutipan hasil kerajaan yang belum dipindahkan ke akaun terimaan utama Pejabat Perakaunan MOT.

“Syarikat tersebut bertanggungjawab memindahkan kutipan hasil kerajaan secara harian mengikut ketetapan satu hari bekerja selepas transaksi dilaksanakan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di pejabat Kementerian Pengangkutan hari ini.

Menurutnya MYEG telah dilantik sebagai ejen pemungut hasil JPJ sejak tahun 2000 bagi perkhidmatan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM), pertukaran hak milik kenderaan, Lesen Memandu Malaysia serta pembayaran saman secara elektronik.

Loke turut memperbetulkan laporan yang mendakwa tunggakan berkenaan berlaku selama tiga tahun, dengan menegaskan jumlah RM314 juta itu hanya melibatkan tunggakan yang tidak diselesaikan sejak Mei tahun ini.

“Ini yang saya nak memperbetulkan sedikit laporan-laporan media yang mengatakan bahawa dah tiga tahun mengapa JPJ dan MOT tak mengambil tindakan. Tak betul. Tiga tahun itu tidak tepat.

“Tunggakan yang tidak berbayar ini sebanyak RM314 juta adalah sejak bulan Mei tahun ini, iaitu beberapa bulan lalu saja, bukannya tiga tahun,” jelasnya.

Menurut Loke, MOT dan JPJ telah mengambil beberapa langkah sejak Mei lalu bagi mendapatkan semula kutipan hasil berkenaan, termasuk mengadakan empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk Kementerian Kewangan.

Tambahnya sebanyak 35 notis peringatan turut dikeluarkan kepada pihak syarikat, selain penetapan tempoh bagi menyelesaikan tunggakan.

Beliau berkata pada 21 Ogos lalu, pihak syarikat menyerahkan cek bertarikh 30 September bernilai RM231 juta bagi menyelesaikan tunggakan pada ketika itu.

“Pada 21 Ogos 2026, pihak syarikat telah menyerahkan satu cek bertarikh 30 September 2026 bernilai RM231 juta sebagai penyelesaian tunggakan pada ketika itu. Walau bagaimanapun, apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September, pihak bank tidak memproses cek tersebut atas arahan pihak syarikat tersebut,” katanya.

Loke berkata, kerajaan sebelum ini memberikan banyak peluang kepada syarikat untuk menyelesaikan tunggakan tanpa menggantung perkhidmatan, mengambil kira jumlah pengguna yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan.

“Selama ini kita cuba untuk memberikan peluang kepada mereka untuk menyelesaikan tunggakan tanpa menggantung perkhidmatan itu.

“Tetapi kita sudah sampai kepada satu tahap di mana cek pun tidak diproses. Dia bagi cek tetapi cek tak boleh dikreditkan ke dalam akaun kerajaan. Jadi kita tak ada pilihan. Tak ada apa-apa alasan yang boleh diberikan oleh pihak syarikat,” katanya.

Beliau menegaskan penggantungan itu akan kekal sehingga keseluruhan tunggakan dijelaskan sebelum kerajaan mempertimbangkan untuk membuka semula saluran berkenaan.

“Penggantungan itu sehingga mereka membayar keseluruhan tunggakan tersebut, baru kita akan mempertimbangkan sama ada membuka semula saluran tersebut.

“Sebelum ini kita sudah memberikan banyak peluang, kita sudah keluarkan banyak notis peringatan dan mengadakan berkali-kali mesyuarat sejak beberapa bulan lalu.

“Ini tanggungjawab dan obligasi. Mereka hanya adalah ejen pemungut hasil. Ini bukan wang mereka. Ini wang pembayar cukai ataupun pembayar lesen yang mereka kutip bagi pihak JPJ. Sepatutnya mereka pindahkan, jadi kutipan itu sepatutnya diterima oleh JPJ secara sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, Loke memberi jaminan penggantungan berkenaan tidak menjejaskan orang awam yang telah membuat pembayaran melalui MYEG sebelum ini.

Katanya, lesen yang telah dibayar dan diperbaharui melalui sistem berkenaan kekal sah dan pengguna tidak akan terjejas.

“Tetapi untuk pengguna, lesen itu memang sah. Kita tak akan memangsakan mana-mana pembayar cukai ataupun pengguna. Sebab mereka dah bayar, lesen terus diperbaharui dan lesen itu telah pun diperbaharui kepada pengguna. Jadi pengguna tak ada masalah.”

Beliau berkata orang awam masih boleh mendapatkan perkhidmatan JPJ melalui saluran alternatif termasuk aplikasi MyJPJ, Portal Awam JPJ, kaunter dan kiosk JPJ serta saluran lain yang ditetapkan.

Tegasnya MOT dan JPJ juga akan mengambil tindakan perundangan bagi mendapatkan semula keseluruhan tunggakan kutipan hasil kerajaan daripada syarikat berkenaan.

Tindakan itu jelansya termasuk tuntutan terhadap bayaran lewat serta faedah lewat sebagaimana yang ditetapkan dalam obligasi kontrak.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat