KMJB perkukuh penyampaian perkhidmatan kehakiman

Oleh Zihan Zari

JOHOR BAHRU – Penyiapan Kompleks Mahkamah Baharu Johor Bahru (KMJB) membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat, kata Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi

“Kompleks ini bukan sekadar sebuah bangunan baharu, tetapi prasarana yang akan menyokong penyampaian perkhidmatan kehakiman yang lebih cekap, selesa dan kondusif.

“Saya berharap kompleks baharu ini dapat memberi suasana yang lebih selesa kepada orang ramai dan warga mahkamah, sekali gus membantu urusan kehakiman berjalan dengan lebih teratur.

“Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor utama Cahaya Jauhar Sdn. Bhd. dan semua pihak yang terlibat dalam menyiapkan projek ini, ”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Pembinaan KMJB di Kota Iskandar, Iskandar Puteri dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said berkata, ukuran sebenar kejayaan projek ini bukan sekadar pada tersiapnya sebuah bangunan baharu, tetapi sejauh mana kemudahan yang disediakan dapat menyumbang kepada akses kepada keadilan yang lebih cekap, berkesan dan mesra rakyat.

Turut hadir, Pendaftar Mahkamah Rayuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Nur Azlin Mohamad Awal; Ketua Pengarah Kerja Raya, Dato’ Ir. Ibrahim Esa; EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Ir. Ts. Haji Mohamad Fazli Mohamad Salleh; dan Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat.

Dalam majlis sama, KMJB yang telah diserahkan secara rasmi ini, menandakan satu lagi usaha kerajaan dalam memperkukuh prasarana kehakiman yang moden, selamat dan kondusif bagi meningkatkan kecekapan penyampaian keadilan kepada rakyat.

KMJB dilaksanakan secara Reka dan Bina dengan nilai kontrak asal RM194.5 juta dibangunkan di atas tapak seluas 17 ekar, terdiri daripada dua blok bangunan utama setinggi tiga dan lima tingkat, dilengkapi dengan 24 buah dewan bicara merangkumi Mahkamah Khas, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret.

Turut disediakan, ruang menunggu, kemudahan sokongan serta 319 lot parkir kereta, termasuk kemudahan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan kenderaan elektrik.

Selain itu, kemudahan persekitaran yang lebih selesa dan kondusif disediakan kepada warga kehakiman, pengamal undang-undang serta orang awam yang berurusan dengan mahkamah.

Hasil kerjasama erat antara BHEUU, JKR, pasukan perunding, kontraktor, agensi teknikal dan semua pemegang taruh, KMJB berjaya disiapkan mengikut perancangan yang dipersetujui. KMJB telah diserahkan oleh JKR selaku agensi pelaksana kepada BHEUU selaku pelanggan, sebelum diserahkan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) sebagai pengguna akhir.

Dalam perkembangan berkaitan, BHEUU merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya, Kerajaan Negeri Johor, JKR, PKPMP, Mahkamah Negeri Johor, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan projek ini.

Katanya, penyiapan KMJB diharapkan dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan kehakiman di Johor Bahru serta menyediakan persekitaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif kepada warga kehakiman, pengamal undang-undang dan masyarakat. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat