KUALA LUMPUR – Pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dalam satu kenyataan hari ini bahawa pihaknya akan mementingkan keselamatan dan pengalaman peminat sukan lumba kereta Formula 1 (F1) akan diutamakan pada perlumbaan F1 Grand Prix Bahrain esok.
Kenyataan rasmi itu dikeluarkan susulan media sosial di negara ini dipenuhi rungutan dan aduan orang ramai berkenaan kesesakan yang berlaku semalam melibatkan perkhidmatan bas ulang-alik yang disediakan untuk ke SIC bagi menyaksikan sesi latihan bebas.
SIC mengesahkan pihaknya kini sedang bekerjasama rapat dengan rakan pengangkutan dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkukuh sistem pengurusan trafik, penyediaan bas ulang-alik (shuttle), serta kawalan pergerakan orang ramai.
“Pengalaman dan keselamatan para peminat kekal menjadi keutamaan tertinggi kami di SIC,” kata kenyataan itu.
“Kami mengambil maklum akan cabaran yang dihadapi oleh sebahagian peminat yang dalam perjalanan pergi dan balik dari litar semalam, terutama ketika tempoh penyuraian pada waktu malam.
“Kami sedang bekerjasama rapat dengan rakan pengangkutan kami serta pihak berkuasa yang berkaitan untuk memperkukuh pengaturan pengurusan trafik, bas ulang-alik (shuttle) dan kawalan orang ramai untuk hari ini.
“Peminat yang hadir ke acara ini digalakkan untuk merancang perjalanan mereka lebih awal dan merujuk kepada maklumat perjalanan terkini di saluran media sosial rasmi kami.
“Ketika tiba dan pulang dari litar, sila ikut arahan petugas serta papan tanda di lokasi kerana pengaturan trafik mungkin diselaraskan berdasarkan keadaan semasa.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua peminat atas kesabaran serta kerjasama yang diberikan, dan tidak sabar untuk menyambut kehadiran semua orang bagi menikmati hari yang menyeronokkan dan selamat di Litar Antarabangsa Sepang,” menurut kenyataan itu.
Pelumba Red Bull Racing, Max Verstappen menempah petak pertama buat kali pertama musim ini selepas merekodkan masa terpantas pada sesi kelayakan di SIC petang tadi.
Verstappen mencatat masa sepusingan 1 minit 35.130 saat (s) dan sekali gus menewaskan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton daripada Ferrari yang merekodkan 1:35.428s.
Seorang lagi pemandu Red Bull Racing, Isack Hadjar melengkapkan aksinya di tempat ketiga dengan catatan 1:35.558s, namun, bakal berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan itu pada perlumbaan, esok berikutan penalti yang dikenakan ke atasnya.
Dua pelumba Mercedes AMG Petronas, Kimi Antonelli dan George Russell masing-masing berada di tempat keempat (1:35.631s) serta kelapan (1:35.871s).


