PETRONAS dijangka bayar dividen RM48 bilion, tampung lonjakan subsidi bahan api kerajaan

KUALA LUMPUR- Harga minyak mentah yang kekal tinggi dijangka meningkatkan dividen PETRONAS kepada RM48 bilion pada 2026.

Lonjakan ini sekali gus membantu mengimbangi peningkatan perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan.

BIMB Securities Research dalam satu nota penyelidikan bagaimanapun berpandangan bahawa peningkatan hasil itu dijangka bersifat sementara berikutan unjuran harga minyak mentah Brent yang dijangka menyederhana dalam tempoh dua tahun akan datang, akan mengehadkan sumbangan dividen PETRONAS kepada kewangan kerajaan.

Menurutnya, berdasarkan andaian harga Brent AS$95 setong bagi 2026, dividen PETRONAS dijangka meningkat berikutan harga minyak yang lebih tinggi, berbanding unjuran AS$65 setong dalam Belanjawan 2026.

Pada masa sama, perbelanjaan subsidi bahan api kerajaan berpotensi meningkat kepada RM50 bilion berbanding RM21.6 bilion yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2026, sekali gus mengimbangi sebahagian besar penjimatan daripada rasionalisasi subsidi.

Firma penyelidikan saham patuh Syariah itu berkata, harga Brent mencatatkan purata AS$91.20 setong dalam tempoh lapan bulan pertama 2026 dan dijangka kekal tinggi susulan risiko geopolitik berterusan, permintaan global yang berdaya tahan serta usaha membina semula inventori minyak.

Namun, harga Brent dijangka menyederhana kepada AS$85 setong pada 2027 dan AS$75 setong pada 2028, sekali gus menyebabkan dividen PETRONAS turut berkurangan kepada RM32 bilion dan RM25 bilion bagi tempoh berkenaan.

“Sebagai perbandingan, ketika konflik Russia-Ukraine pada 2022, dividen PETRONAS mencecah RM50 bilion manakala jumlah subsidi kerajaan ketika itu berjumlah RM55.4 bilion,” katanya memetik BH.

Dalam perkembangan berkaitan, BIMB Securities Research berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka kekal melebihi lima peratus sekurang-kurangnya sehingga 2028, disokong oleh kedudukan strategik negara dalam rantaian bekalan semikonduktor global.

Selain itu, pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh turut dijangka membantu kerajaan meneruskan usaha konsolidasi fiskal dengan defisit fiskal diunjurkan berkurangan daripada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 kepada 3.1 peratus pada 2028.

Dalam tempoh sama, BIMB Securities Research berkata, paras hutang kerajaan pula dijangka berkurangan daripada 65.3 peratus kepada 61 peratus daripada KDNK didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas dan usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.

Bagi Belanjawan 2027, menurutnya, kerajaan dijangka tidak memperkenalkan cukai baharu secara meluas atau menaikkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), cukai pendapatan korporat serta cukai pendapatan individu bagi mengekalkan kestabilan pertumbuhan ekonomi.

“Sebaliknya, peningkatan hasil kerajaan dijangka didorong oleh usaha memperkukuh pematuhan cukai serta perkembangan ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan,” katanya.

Dalam usaha meneruskan konsolidasi fiskal, BIMB Securities Research berkata, kerajaan juga kekal komited terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (PFFRA 2023), yang menetapkan sasaran defisit fiskal di bawah tiga peratus daripada KDNK dan hutang kerajaan Persekutuan di bawah 60 peratus daripada KDNK.

“Akta itu turut menetapkan sasaran liabiliti luar jangka di bawah 25 peratus daripada KDNK serta perbelanjaan pembangunan sekurang-kurangnya tiga peratus daripada KDNK,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat