KUALA LUMPUR – Tindakan penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) baru-baru ini, dilihat membuka ruang terbaik ke arah mengukuhkan semula hubungan Pas dan Umno.
Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, peluang untuk menyuburkan kembali agenda Perpaduan Ummah antara kedua-dua parti sentiasa terbuka luas memandangkan hubungan di peringkat akar umbi terutama di luar bandar masih utuh.
Bagaimanapun, usaha penyatuan itu menuntut perubahan sikap dalam kalangan pimpinan tertinggi kedua-dua parti agar tidak mengenepikan keperluan parti demi menjaga kepentingan peribadi atau keluarga semata-mata.
“Saya meminta pemimpin Umno dan Pas supaya ubah cara berfikir untuk kita selamat.
“Kalau pemimpin kedua-dua parti ini tunjuk contoh yang baik, rakyat akan ikut, tetapi kalau pimpinan di atas asyik berkelahi, bila masa rakyat boleh bersatu?” katanya lapor BH di Arau pada Jumaat.
Hashim berkata, kesudian Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir menziarahinya di kediaman baru-baru ini, juga membuktikan wujudnya keikhlasan untuk memulihkan hubungan dan perdamaian antara kedua-dua parti.
Pada 23 September lalu, RoS mengesahkan semua kegiatan PN digantung mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berkuat kuasa serta-merta susulan notis yang dikeluarkan pada 22 September lalu.
Perintah penggantungan itu dibuat bagi meminta PN memberikan penjelasan terperinci berkenaan aduan Bersatu kepada jabatan berkenaan, dan bukannya satu keputusan pembatalan pendaftaran gabungan itu.


