SEREMBAN – Undang Yang Empat asal Negeri Sembilan menegaskan kedudukan mereka kekal sah menurut adat dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), serta mempertahankan keputusan mereka berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir pada 19 April lalu.
Menerusi kenyataan rasmi bertarikh hari ini yang dikeluarkan atas nama Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, mereka menyifatkan kemelut berpanjangan di negeri itu sebagai “krisis keingkaran”, berdasarkan pendirian bahawa persoalan takhta sudah diputuskan melalui pelaksanaan Perkara 10 dan 11 UUTKNS.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Dato’ Haji Mubarak bin Thahak dan Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin masing-masing kekal sebagai Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang sah, sambil mempertikaikan kesahan penggantian kedua-duanya.
Menurut kenyataan berkenaan, Undang bagi empat luak — Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau — telah sebulat suara menandatangani serta memeteraikan Sabda Berkaitan Perkara 10 di Balai Undang Luak Sungei Ujong pada 19 April 2026.
Mereka menyatakan bahawa melalui sabda berasingan di bawah Perkara 11 pada hari sama, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12. Kedua-dua sabda itu, menurut kenyataan tersebut, disaksikan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
“Undang Yang Empat menegaskan bahawa tiada lagi krisis takhta di Negeri Sembilan,” menurut kenyataan itu.
Pendirian tersebut dikemukakan bersama penjelasan mengenai asas sejarah dan perlembagaan yang mereka sandarkan, proses penelitian terhadap tindakan Tuanku Muhriz, serta implikasi pertikaian berkenaan terhadap pentadbiran negeri.
*Kedudukan Dua Undang*
Mengenai kedudukan dua Undang yang dipertikaikan, kenyataan itu mendakwa penggantian mereka selepas 20 Jun lalu tidak sah kerana jawatan berkenaan tidak pernah kosong melalui proses penyingkiran yang sah.
Menurut mereka, Undang mesti dipilih menurut adat luak sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 14(1), manakala urusan pemilihan atau penyingkiran perlu mengambil kira nasihat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta struktur kuasa Raja Negeri Sembilan.
Mereka turut mendakwa penggantian itu dibuat oleh pihak yang, menurut pendirian mereka, telah terhenti memegang jawatan Yang di-Pertuan Besar selepas sabda 19 April.
“YTM Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin dan YTM Dato’ Haji Mubarak bin Thahak kekal sebagai Undang yang sah bagi luak masing-masing,” menurut kenyataan tersebut.
Undang Yang Empat mendakwa tindakan penggantian itu menimbulkan perpecahan dalam kalangan anak buah luak serta mengganggu susunan adat di Rembau dan Sungei Ujong.
Dalam menghuraikan asas pendirian mereka, kenyataan itu merujuk Perjanjian 29 April 1898 antara Yang di-Pertuan Besar Sri Menanti dengan Undang Yang Empat, yang menurut mereka diperkukuhkan melalui perjanjian pada 16 Mei 1934.
Mereka berhujah bahawa perjanjian berkenaan menjadi asas hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan pemerintah luak, termasuk kuasa Undang memilih dan menabalkan Yang di-Pertuan Besar serta batas campur tangan dalam urusan dalaman luak.
Menurut tafsiran yang dikemukakan dalam kenyataan itu, Fasal 3 dan 4 Perjanjian 1898 melarang campur tangan Yang di-Pertuan Besar dalam urusan adat luak serta penerimaan aduan atau rayuan rakyat luak terhadap Undang masing-masing.
Mereka turut merujuk Perkara 32 UUTKNS sebagai peruntukan yang memelihara perlembagaan dan adat purba Negeri Sembilan, tertakluk kepada batas yang dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh.
Berhubung proses sebelum keputusan 19 April dibuat, Undang Yang Empat menyatakan bahawa penelitian yang disebut sebagai “enquiry” di bawah Perkara 10 telah dijalankan pada 5 Mac 2026.
Menurut mereka, proses itu dilaksanakan secara dalaman dan tertutup, dengan pertanyaan dikemukakan terus kepada Tuanku Muhriz serta peluang diberikan kepada baginda untuk menjawab.
Kenyataan tersebut menjelaskan bahawa Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Thahak mengemukakan tiga perkara, iaitu dakwaan campur tangan dalam urusan pemilihan Undang Luak Rembau, ketiadaan rundingan dengan Pembesar Memerintah sebelum mesyuarat Majlis Raja-Raja, serta kelewatan pelantikan Mufti Negeri yang dikaitkan dengan proses pencalonan.
Mereka berhujah bahawa proses berkenaan tidak memerlukan tribunal luar atau pendengaran awam, sebaliknya perlu difahami dalam konteks rundingan dan muafakat institusi adat Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, tempoh pertimbangan selama 45 hari menyusuli proses pada 5 Mac sebelum keputusan dibuat pada 19 April.
Dalam isu Rembau, mereka menyatakan bahawa DKU yang dipengerusikan Tuanku Muhriz pada 4 Julai 2025 telah menerima dan mengiktiraf Dato’ Sedia Raja Dato’ Haji Abdul Rahim bin Haji Yasin sebagai Undang Luak Rembau ke-22.
Bagaimanapun, menurut kenyataan tersebut, agenda mesyuarat DKU pada 5 Mac 2026 memasukkan laporan dapatan siasatan mengenai aduan dan bantahan terhadap pelantikan berkenaan.
Undang Yang Empat mempertikaikan langkah itu atas alasan kedudukan Undang Luak Rembau telah diputuskan, dan mendakwa pembukaan semula isu tersebut bercanggah dengan kemuktamadan nasihat DKU serta larangan campur tangan dalam urusan luak.
Bagi Sungei Ujong pula, kenyataan itu mendakwa Mesyuarat Khas DKU pada 17 April 2026 dipanggil melalui surat bertarikh 15 April untuk mendengar laporan aduan terhadap Dato’ Haji Mubarak.
Mereka mendakwa notis mesyuarat itu tidak dialamatkan kepada Undang Luak Sungei Ujong yang menjadi subjek aduan, mahupun Undang Luak Rembau.
Menurut versi kejadian yang dikemukakan dalam kenyataan tersebut, Undang Luak Johol, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong menentang usul berkenaan, manakala sokongan hanya datang daripada Tunku Besar Seri Menanti.
Mereka seterusnya mempertikaikan kenyataan media Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, pada 17 April berhubung nasihat DKU mengenai pemberhentian Dato’ Haji Mubarak, dengan mendakwa tiada keputusan sedemikian dibuat oleh Dewan.
Kenyataan itu menyebut bahawa Undang Yang Empat telah menafikan perkara tersebut secara bertulis dan bermeterai pada 20 April. Mereka turut mendakwa minit mesyuarat 17 April belum dikemukakan sehingga kenyataan terbaharu itu dikeluarkan.
Pada masa sama, Undang Yang Empat menekankan konsep “Raja majmuk”, yang menurut tafsiran mereka terhadap Perkara 28 UUTKNS merangkumi Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar Memerintah.
Mereka berhujah bahawa pelaksanaan kuasa budi bicara tertentu memerlukan penyertaan Undang sebagaimana ditetapkan oleh peruntukan tersebut, termasuk dalam urusan adat Melayu dan fungsi Ketua Agama Islam.
Kenyataan itu turut mengaitkan prinsip tersebut dengan pelantikan Menteri Besar, urusan pembubaran Dewan Undangan Negeri serta fungsi tertentu berhubung Majlis Raja-Raja.
Menurut mereka, pelaksanaan kuasa secara bersendirian dalam perkara yang memerlukan tindakan bersama menjejaskan keseimbangan institusi yang menjadi asas pemerintahan Negeri Sembilan.
Mengenai proklamasi, kenyataan itu menyebut bahawa Menteri Besar, Dato’ Haji Ismail bin Lasim, menurunkan tandatangan pada surat cara tersebut pada 3 Ogos 2026 di Istana Laguna Biru, Port Dickson.
Menurut kenyataan berkenaan, keputusan Undang Yang Empat turut diminitkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan pelaksanaan, manakala surat cara proklamasi diumumkan dalam Sidang Khas pada 5 September.
Mereka mengambil pendirian bahawa keputusan penurunan takhta berkuat kuasa dari segi undang-undang pada 19 April dan disempurnakan dari segi pentadbiran pada 3 Ogos.
Undang Yang Empat turut berhujah bahawa UUTKNS tidak mensyaratkan pewartaan bagi penurunan dan pemilihan Yang di-Pertuan Besar. Menurut tafsiran mereka, Perkara 10(2) menghendaki keputusan dimaklumkan kepada umum melalui proklamasi.
Kenyataan itu juga mendakwa keputusan penurunan takhta tersebut belum dicabar oleh Tuanku Muhriz di mahkamah.
Dalam menjelaskan kesan pertikaian berpanjangan, mereka menyuarakan kebimbangan bahawa penjawat awam berdepan kekeliruan mengenai pelaksanaan arahan, sementara dasar, pelantikan dan urusan pentadbiran negeri boleh terganggu.
Mereka turut memberi amaran mengenai risiko terhadap perjalanan Dewan Undangan Negeri, termasuk urusan pemanggilan persidangan, perkenan dan perundangan apabila terdapat tuntutan kuasa yang bertentangan.
Selain institusi adat dan agama, kenyataan itu menyebut bahawa ketidakpastian berterusan boleh menjejaskan kedudukan Negeri Sembilan dalam urusan Persekutuan serta keyakinan rakyat dan pelabur.
Sehubungan itu, Undang Yang Empat menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri-negeri mengambil maklum pendirian mereka mengenai kedudukan takhta serta keunikan sistem beraja Negeri Sembilan.
Mereka turut meminta Perdana Menteri dan Peguam Negara mengambil kira konsep Raja yang merangkumi Yang di-Pertuan Besar bersama Pembesar Memerintah, serta menasihati agensi Persekutuan supaya menghormati keputusan yang mereka buat di bawah Perkara 10 dan 11.
Dalam seruan kepada pentadbiran negeri, mereka meminta Setiausaha Kerajaan Negeri dan penjawat awam mematuhi proklamasi tersebut serta tidak melaksanakan titah, pelantikan atau arahan Tuanku Muhriz selepas 19 April, selaras dengan pendirian yang dinyatakan dalam kenyataan itu.
Rakyat pula diseru bertenang, menjunjung adat dan Undang-Undang Tubuh serta memelihara perpaduan negeri.
“Undang Yang Empat tidak membuat keputusan ini dengan mudah. Ia dibuat dengan berat hati, demi memelihara Undang-Undang Tubuh, adat pusaka dan perpaduan Negeri Sembilan yang dibina di atas perjanjian dan pengorbanan nenek moyang kita.
“Adat dijunjung, pusaka dipelihara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan 12 halaman tersebut mengemukakan pendirian, dakwaan dan tafsiran perlembagaan pihak Undang Yang Empat.


