KUALA LUMPUR – Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi bayangan mengenai kenaikan kadar gaji minimum daripada RM1,700, sambil meminta orang ramai menunggu pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober untuk mengetahui kadarnya.
Tengku Zafrul, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), berkata Perdana Menteri sudah memberikan isyarat mengenai kenaikan itu, namun kesannya terhadap pekerja bergaji rendah dan kemampuan majikan perlu diteliti.
“Berapa kadarnya? Kita tunggu Belanjawan pada 9 Oktober,” katanya menerusi sebuah video.
Menurut beliau, kenaikan gaji minimum penting untuk meningkatkan pendapatan pekerja, tetapi kesannya terhadap kos operasi perniagaan kecil juga perlu diberikan perhatian.
Beliau memberikan contoh sebuah kedai makan yang mempunyai lima pekerja bergaji minimum perlu menambah perbelanjaan sebanyak RM500 sebulan bagi gaji asas sahaja sekiranya kadar itu dinaikkan RM100 seorang.
Jumlah berkenaan, katanya, belum termasuk caruman yang perlu ditanggung majikan.
“Kalau untung pun cukup-cukup makan, memang terasa,” katanya.
Tengku Zafrul menjelaskan, kenaikan terlalu tinggi secara sekali gus boleh menyebabkan perniagaan kecil terpaksa mengurangkan syif, menangguhkan pengambilan pekerja baharu atau menaikkan harga.
Sekiranya tidak lagi mampu menanggung kos, katanya, sesebuah perniagaan mungkin terpaksa ditutup sehingga menyebabkan pekerja kehilangan pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keadaan itu tidak bermakna semua majikan tidak mampu membayar gaji lebih tinggi.
Katanya, terdapat syarikat besar yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit, tetapi gaji pekerja mereka masih rendah.
“Ada yang mampu bayar lebih, tapi pilih bayar setakat minimum selagi undang-undang membenarkan,” katanya.
Beliau turut menegur sikap majikan yang hanya menaikkan gaji pekerja paling bawah mengikut kadar minimum baharu, sedangkan gaji pekerja lain tidak berubah.
Mengambil contoh seorang pekerja baharu bernama Ali yang menerima gaji RM1,700 dan Abu yang sudah berkhidmat selama 10 tahun dengan gaji RM1,800, beliau berkata kenaikan kadar minimum tidak semestinya disusuli pelarasan gaji untuk pekerja lama.
“Bila kadar minimum naik nanti, gaji Ali akan naik, tapi gaji Abu tak semestinya berubah.
“Lama-lama, beza gaji mereka makin kecil, dan ini tak adil pada Abu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa majikan meneliti struktur gaji keseluruhan pekerja supaya kenaikan pendapatan tidak hanya tertumpu kepada pekerja baharu atau mereka yang menerima gaji minimum.
“Janganlah semua keuntungan itu pergi kepada pemilik dan pemegang saham sahaja.
“Bos tiap-tiap tahun tukar kereta, tapi dekat pekerja asyik cerita pasal bisnes yang tak untung,” katanya.
Tengku Zafrul turut merujuk penanda aras gaji kehidupan wajar sekitar RM3,100 untuk pekerja tetap rakyat Malaysia yang, menurutnya, telah ditetapkan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Beliau menjelaskan, angka itu bukan kadar wajib untuk semua syarikat, tetapi membuktikan terdapat majikan besar yang mampu menetapkan gaji lebih tinggi daripada kadar minimum.
Katanya, kenaikan gaji minimum penting, namun usaha meningkatkan pendapatan tidak sepatutnya terhenti pada pekerja bergaji paling rendah sahaja.
“Pekerja yang gajinya RM1,800, RM3,000 atau RM7,000 pun tak patut tertinggal,” katanya.
Beliau menegaskan syarikat besar yang berkemampuan perlu membayar pekerja dengan lebih adil, manakala perniagaan kecil perlu diberikan bantuan supaya mampu meneruskan operasi dan meningkatkan pembayaran gaji.
“Syarikat besar yang mampu, bayarlah dengan lebih adil. Perniagaan kecil pula perlu dibantu supaya boleh terus berniaga dan bayar pekerja dengan lebih baik,” katanya.


