SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan berharap persoalan yang menyentuh institusi Raja di negeri itu dapat diselesaikan secara tertib melalui kerangka Adat Perpatih dan perundangan negara, dengan keharmonian negeri serta kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan bertarikh 30 September menyeru semua pihak memberikan ruang sewajarnya kepada saluran dan mekanisme yang tersedia supaya perkara berkenaan dapat ditangani secara teratur, berhemah dan berlandaskan undang-undang.
“Sebarang persoalan yang timbul wajar dirujuk kepada kerangka yang menjadi asas pemerintahan dan kehidupan bernegara, termasuk Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS), Adat Perpatih, Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.
Katanya, pendekatan tersebut penting bagi memastikan setiap persoalan ditangani melalui peruntukan dan bidang kuasa yang sewajarnya, selain memelihara keharmonian, mengelakkan salah faham dan membantu menenangkan keadaan dalam kalangan rakyat.
UMNO negeri turut mendoakan agar segala persoalan yang timbul dapat diselesaikan dengan penuh hikmah, tertib serta berpandukan undang-undang dan nilai luhur yang menjadi warisan Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan itu, parti berkenaan mengambil maklum perkembangan semasa yang menyentuh institusi Raja serta Adat Perpatih dengan penuh tertib, berhati-hati dan rasa hormat.
“Sehubungan itu, UMNO menghormati bidang kuasa serta urusan Istana dan tidak berhasrat untuk mencampuri perkara yang berkaitan dengan Adat Perpatih,” katanya.
Dalam suasana yang menuntut ketenangan dan kebijaksanaan, UMNO Negeri Sembilan menyeru semua pihak mengutamakan adab, kesantunan serta sikap saling menghormati.
Sebarang perbezaan pandangan, katanya, perlu diurus secara matang agar tidak mengatasi kepentingan lebih besar, iaitu keharmonian negeri dan kesejahteraan rakyat.
Pada masa sama, parti itu menegaskan kelancaran pentadbiran negeri perlu terus diberikan perhatian bagi memastikan kepentingan rakyat sentiasa terpelihara.
“Urusan harian, penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan negeri serta pelaksanaan dasar dan program kerajaan perlu diteruskan dengan sebaik-baiknya demi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu.
UMNO negeri berkata pemeliharaan institusi Raja, Yang di-Pertuan Besar, Istana dan Adat Melayu merupakan antara asas perjuangan yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.
Pendirian itu akan terus dipegang dengan penuh tanggungjawab, kesederhanaan dan rasa hormat.
Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sambil menegaskan kepentingan rakyat tidak boleh diketepikan dalam apa jua keadaan.
“Semoga Negeri Sembilan terus berada dalam keadaan aman, stabil dan sejahtera demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.


