Ayob Khan dilantik Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM, Shuhaily sebagai timbalan

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Integriti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi baki penggal 2025-2029.

Pelantikan itu antara keputusan utama Mesyuarat Keenam Jawatankuasa Eksekutif FAM yang berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya, lapor Harian Metro pada Rabu.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Presiden FAM yang baharu, Datuk Ab Ghani Hassan dan dihadiri kesemua sembilan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM lain yang dipilih pada Kongres Luar Biasa FAM Kedua 2026 di Hilton Petaling Jaya pada 17 September lalu.

Ayob Khan akan menerajui Jawatankuasa Integriti FAM dengan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilantik sebagai Timbalan Pengerusi.

Pelantikan itu menyaksikan aspek integriti dalam badan induk bola sepak negara kini diperkukuhkan menerusi kepimpinan individu berpengalaman dalam bidang penguatkuasaan dan keselamatan.

Dalam mesyuarat pertama yang dipengerusikannya itu, Ab Ghani turut mengumumkan barisan pengerusi dan timbalan pengerusi bagi 11 jawatankuasa tetap FAM bagi baki penggal 2025-2029.

Ab Ghani sendiri mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan.

Datuk N Saaran pula dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan, selain menjadi Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang.

Bagi Jawatankuasa Stadium dan Keselamatan, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilantik sebagai pengerusi, dengan DCP Datuk Mohd Rozi Jidin sebagai timbalan pengerusi.

Sementara itu, Datuk Seri Rosmadi Ismail mengetuai Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan serta menjadi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bolasepak Kebangsaan.

Ab Ghani turut mengesahkan Datuk Noor Azman Rahman kekal sebagai Setiausaha Agung FAM, manakala Datuk Ismail Karim meneruskan tugas sebagai Bendahari FAM.

Mesyuarat itu menjadi langkah awal barisan kepimpinan baharu FAM dalam menyusun struktur pentadbiran bagi meneruskan baki penggal 2025-2029 selepas pemilihan pada 17 September lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat