Pengundi tidak perlu rasa serba salah mempertimbangkan BERSAMA, nilailah mutu kerja dan kepimpinan – Rafizi

KUALA LUMPUR – Pengundi tidak berhutang undi kepada mana-mana parti sebaliknya parti yang perlu mendapatkan kepercayaan pengundi.

Pemimpin BERSAMA Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, sebab itu, tidak perlu berasa serba salah mempertimbangkan BERSAMA.

“Kalau undi BERSAMA, bukankah kita membantu BN dan PN?” Saya faham kebimbangan ini. Tetapi kita kena tanya dulu: kalau tidak ada BERSAMA, adakah orang yang sudah kecewa dengan PH akan kembali mengundi PH? Belum tentu.

“Nilailah pendirian, mutu kepimpinan, dan kerja yang dilakukan. Tuntut perkara yang sama daripada kami.

“Kalau prinsip yang kita pegang dahulu masih sama, kita berhak mencari pilihan yang tetap mempertahankannya,” tegas Rafizi.

Menurut beliau, ada yang mungkin tidak keluar untuk mengundi. Ada yang mungkin mengundi BN atau PN kerana mahu menghukum PH.

“Semasa di Johor, saya sendiri berjumpa pengundi yang memberitahu, nasib baik ada BERSAMA. Kalau tidak, mereka sudah berkira-kira untuk mengundi MCA.

“Jadi, jangan anggap semua undi itu milik PH dan hanya akan beralih jika ada BERSAMA.

“Soalan yang lebih penting ialah: kenapa mereka sudah tidak mahu mengundi PH? PH susah payah dibina dahulu kerana rakyat mahukan perubahan yang jelas.

“Kita mahu rasuah dibanteras tanpa memilih bulu. Kalau orang sendiri ambil duit rakyat, dia tetap kena jawab. Prinsip itu tidak boleh berubah mengikut siapa yang menjadi kawan politik kita.

“Kita mahu pemimpin yang berkebolehan, yang tahu mentadbir dan menyelesaikan masalah rakyat. Gaji, harga barang dan pendidikan, semua ini memerlukan kerja dan penyelesaian.

“Kita juga mahu rakyat dilayan dengan adil. Bukan setiap kali ada masalah, orang Melayu, Cina dan India dilaga-lagakan untuk menutup kelemahan pemimpin.

“Itulah harapan yang menyebabkan ramai menyokong PH dahulu. Apabila pendirian mula berbolak-balik, jangan hairan jika ada yang menarik balik sokongan.

“Saya sendiri antara yang membantu membina PH. Sebab itu saya ingat tujuan asalnya. Kita mengajak rakyat menyokong kerana prinsip dan harapan itu, bukannya supaya mereka terus mengundi kita walau apa pun yang kita lakukan,” katanya.

Menurut Rafizi, kalau PH mahu mendapatkan semula sokongan, PH kena menjawab kekecewaan itu.

“Tidak cukup dengan memberitahu pengundi bahawa memilih orang lain akan membantu BN dan PN,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat