KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dikenakan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membelanjakan sebanyak RM 2.1 bilion lebih daripada peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diluluskan.
Hal ini sama seperti tindakan SPRM ke atas pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang menyuntik dana hampir RM 260 juta ke UiTM Holdings tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
Menurut Penasihat DAP Lim Guan Eng, penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang mendedahkan bahawa pihak pengurusan Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menyuntik dana hampir RM260 juta ke dalam anak syarikatnya, UiTM Holdings, secara berperingkat di antara 2007 ke 2018, tanpa kelulusan Menteri Kewangan.
“Kerugian terkumpul UiTM sebanyak RM157.04 juta adalah bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019, dan 2021.
“Pembayaran RM42 juta berkaitan pembangunan projek solar 50 Megawatt (MW) di Gambang, Pahang.yang didakwa dikeluarkan bagi tujuan lain yang tidak berkaitan dengan projek tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah syarikat.
“Sememangnya tindakan tegas harus diambil demi memastikan peruntukan besar UiTM (yang telah ditingkatkan kepada RM3.08 bilion bagi tahun 2026) diuruskan dengan telus dan tidak disalahgunakan,” katanya.
Akan tetapi, kata Guan Eng , Zahid dan KKDW juga harus dikenakan tindakan kerana membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan sebanyak RM 2.1 bilion agar menghindari kementerian-kementerian lain mengulangi kesalahan serupa yang boleh memudaratkan khazanah dan kestabilan kewangan negara.
Tegas pemimpin DAP itu lagi, Kementerian Kewangan sebelum ini memaklumkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion. Pada 2025 pula, perbelanjaan KKDW direkodkan RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
“Perbelanjaan melebihi peruntukan yang diluluskan adalah sebanyak RM 2.1 bilion untuk tiga tahun tempoh 2023-25 semasa KKDW di bawah Zahid.
“RM 2.1 bilion bukanlah satu jumlah kecil sedangkan ia tidak menjadi masalah untuk tahun-tahun sebelum 2023.
“Perbuatan sedemikan oleh Zahid adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggari prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan,” bidas Guan Eng.
Kata beliau, sekiranya SPRM tidak mengambil tindakan kepada Zahid dan KKDW kerana kedudukan beliau yang tinggi, maka ia amat tidak adil kepada UiTM kerana tidak ada penguatkuasaan undang-undang yang sama rata.
“SPRM harus bertindak dengan tegas dan cepat kepada KKDW dan Ahmad Zahid Hamidi agar tidak dilihat sebagai mengamalkan siasatan berpilih dan antara dua darjat,” katanya.



