Jangan ‘baling batu sembunyi tangan’, UMNO NS desak rekod DKU diperjelas

SEREMBAN, 30 September – UMNO Negeri Sembilan menggesa KEADILAN negeri supaya tidak mengetepikan punca kemelut institusi dan pentadbiran negeri ialah Minit Mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 17 April lalu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula tercetus.

Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Sufian Maradzi berkata, keseluruhan rentetan peristiwa perlu diteliti sebelum kesalahan diletakkan terhadap kerajaan negeri yang kini sedang berusaha menyelesaikan kemelut tersebut.

Menurutnya, persoalan mengenai rekod mesyuarat itu kekal menjadi perkara asas kerana ia dikaitkan dengan keputusan membabitkan kedudukan Undang Luak Sungei Ujong.

“Adalah tidak wajar untuk membicarakan kesan kemelut hari ini tanpa mengakui bagaimana kemelut tersebut bermula.

“Jangan sampai berlaku keadaan baling batu sembunyi tangan, sedangkan pentadbiran hari ini sedang berhadapan dengan pertikaian yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini bagi menjawab kenyataan KEADILAN Negeri Sembilan.

Sufian berkata, peristiwa 17 April merupakan antara titik penting dalam perkembangan kemelut itu apabila kedudukan Undang Luak Sungei Ujong dikatakan telah diputuskan secara kolektif melalui DKU.

Bagaimanapun, menurutnya, perkara berkenaan kemudiannya dipertikaikan oleh pihak yang hadir, termasuk Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Mengapa rekod yang menjadi asas kepada keputusan sebesar itu tidak dikemukakan ketika pertikaian mula berlaku?

“Sekiranya rekod tersebut diperjelaskan sejak awal, sebahagian besar kekeliruan, pertikaian institusi dan krisis pentadbiran yang menyusul berkemungkinan dapat dielakkan,” katanya.

Beliau berkata, pertikaian berkenaan menjadi antara asas kepada hilangnya keyakinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun.

Katanya, pendirian tersebut bukan penolakan terhadap konsep Kerajaan Perpaduan, sebaliknya berkaitan cara krisis institusi dan pentadbiran negeri dikendalikan di bawah kepimpinan Aminuddin.

Menurut Sufian, apabila penyelesaian politik tidak dicapai, Aminuddin memilih untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

“Pilihan raya telah berlangsung, rakyat telah membuat keputusan dan sebuah kerajaan baharu telah dibentuk melalui proses demokrasi yang sah.

“Mandat tersebut wajib dihormati sebagaimana semua pihak sebelum ini menuntut supaya kehendak rakyat dihormati,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memberikan ruang kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan kemelut berkenaan secara tertib, berperlembagaan dan penuh adab.

Katanya, perkara yang menyentuh institusi diraja, adat serta struktur pemerintahan Negeri Sembilan tidak seharusnya dijadikan medan untuk mencipta tekanan politik atau mendahului proses yang sedang berjalan.

Sufian turut menegaskan bahawa sekiranya KEADILAN Negeri Sembilan mahu melihat kemelut tersebut diselesaikan, parti itu perlu kembali kepada persoalan dokumen yang masih dituntut oleh pihak dalam pertikaian.

Beliau mendakwa pentadbiran terdahulu gagal menyelesaikan perkara berkenaan secara tertib dan beradab.

“Jangan memilih hanya sebahagian daripada naratif yang sesuai dengan kepentingan politik semasa,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat meneliti rentetan peristiwa sejak pentadbiran kerajaan pimpinan PKR sebelum meletakkan kesalahan terhadap kerajaan negeri sekarang.

Menurutnya, kerajaan negeri kini memikul tanggungjawab berat untuk menyelesaikan kemelut yang diwarisi dengan berpandukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih, keputusan mahkamah dan bidang kuasa institusi yang sah.

“Semua pihak wajib menjaga bahasa dan tindakan supaya tidak mendahului proses tersebut,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat