KUALA LUMPUR – Seorang Pegawai Kawalan Trafik Udara (ATC) yang sedang bertugas akan bertugas secara aktif ketika syif bertugas maksimum selama 2 jam sebelum mereka perlu berehat untuk mengekalkan fokus mengawal pergerakan trafik pesawat.
Perkara itu dinyatakan Eksekutif Pegawai Pengawai Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Shahpandi Abdul Manan kepada petugas media hari ini.
“Dalam satu syif seorang petugas hanya boleh bertugas maksimum selama dua jam dan mereka mesti berehat dan kemudian menyambung semula tugasan mereka supaya fokus tidak terganggu.
“Setiap hari seseorang pegawai ATC mengawal pergerakan puluhan penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang di seluruh negara setiap kali bertugas dan fokus amat penting untuk memastikan penerbangan dan penumpang selamat,” katanya.
Hari ini CAAM mengadakan program taklimat literasi bersama petugas media di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC), Sepang.
Program bertujuan membuat jalinan hubungan antara CAAM dengan petugas media yang merupakan bahagian paling penting dalam dunia penerbangan awam di negara ini.
Shahpandi turut berkongsi bahawa seorang Pegawai ATC perlu menjalani pemeriksaan perubatan secara berkala 2 tahun sekali untuk memastikan keadaan fikizal dan mental sentiasa sihat untuk bertugas.
“Jika seorang pegawai berusia lebih 40 tahun, mereka perlu menjalani pemeriksaan setahun sekali.
“Penyakit seperti tekanan darah tinggi perlu dielakkan dalam kalangan Pegawai ATC untuk mengelakkan fokus dan kesihatan terganggu ketika bertugas,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi CAAM Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata pihak CAAM bertanggungjawab mengawal selia apa sahaja mesin yang terbang dari atas tanah sehingga ke garis sempadan angkasa di langit di dalam negara termasuk dron.
“Sebagai contoh, sebuah pesawat penumpang dalam satu laluan penerbangan di negara ini, persediaan kawal selia bagi jenis pesawat, penerbangan, perlesenan dan semua perkara berkaitan sudah bermula seawal dua setengah tahun sebelum pesawat itu terbang,” katanya.
Menurut beliau, langkah itu penting untuk memastikan penerbangan membawa penumpang di negara ini sentiasa selamat.
Di seluruh negara, terdapat 25 menara kawalan di lapangan terbang dan ada tiga pejabat Pusat Kawalan Trafik Udara untuk memastikan semuanya berjalan lancar.
Petugas media dibawa melawat pusat operasi kawalan trafik udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1) iaitu di Menara Kawalan Timur.


