Selepas 17 tahun membangunkan produk kesihatan tempatan, Eskayvie Sdn Bhd kini membawa salah satu produk nutrisi mindanya, Mindtropic, ke peringkat kajian klinikal menerusi kerjasama penyelidikan bersama Universiti Malaya (UM).
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang berlangsung di Canseleri Universiti Malaya, sekali gus membuka ruang kepada penilaian secara klinikal terhadap formulasi lengkap Mindtropic.
Kajian berkenaan akan memberi tumpuan kepada beberapa aspek berkaitan fungsi minda dan kesejahteraan seseorang, termasuk prestasi kognitif, daya tahan terhadap tekanan, fungsi sistem saraf autonomi serta kualiti tidur.
Bagi Eskayvie, langkah itu bukan sekadar melihat kepada bahan yang digunakan dalam sesuatu formulasi, sebaliknya mahu menilai bagaimana gabungan keseluruhan bahan dalam Mindtropic berfungsi apabila diuji secara klinikal.

Pengarah Urusan Eskayvie, Datin Dr Kartika Wati Mohamed berkata, pengalaman membangunkan syarikat selama 17 tahun menjadi dorongan untuk pihaknya memberi lebih perhatian kepada penyelidikan sebagai sebahagian daripada proses menghasilkan produk yang berkualiti.
“Kepercayaan pengguna terhadap Mindtropic mendorong kami untuk terus melangkah lebih jauh dalam penyelidikan dan inovasi. Melalui kerjasama dengan Universiti Malaya, kami mahu menilai formulasi lengkap Mindtropic secara klinikal bagi mendapatkan bukti saintifik yang lebih menyeluruh tentang keberkesanannya.
“Bagi kami, kepercayaan itu datang bersama tanggungjawab untuk terus mengutamakan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk. Kami berharap kerjasama ini turut membuka peluang kepada lebih banyak penyelidikan dan penerbitan saintifik pada masa hadapan,” katanya.
Kajian klinikal itu akan dilaksanakan bersama Clinical Investigation Centre (CIC), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), dengan penglibatan pasukan penyelidik UM. Pelaksanaannya pula akan dibuat berdasarkan protokol yang diluluskan serta piawaian penyelidikan klinikal yang ditetapkan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidikan & Inovasi Eskayvie, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri berkata, pendekatan terhadap kesihatan minda tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek seperti fokus dan daya ingatan.
Menurut beliau, tindak balas seseorang terhadap tekanan serta kualiti tidur turut mempunyai kaitan dengan prestasi minda dan menjadi antara perkara yang diberi perhatian dalam pembangunan Mindtropic.
“Mindtropic dirumuskan dengan gabungan bahan yang dipilih berdasarkan fungsi dan rasional saintifik masing-masing. Dalam menilai prestasi minda, kita bukan sahaja melihat fokus dan daya ingatan, tetapi juga keupayaan seseorang menghadapi tekanan serta mendapatkan tidur yang berkualiti.
“Setiap bahan mempunyai asas penyelidikannya tersendiri. Melalui kajian klinikal ini, kami mahu melangkah lebih jauh dengan menilai keberkesanan gabungan bahan tersebut sebagai satu formulasi lengkap,” katanya.
Dari sudut akademia pula, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada kepakaran penyelidikan universiti digandingkan dengan pengalaman industri dalam pembangunan produk kesihatan.
Naib Canselor Universiti Malaya, Professor Dato’ Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, penyelidikan yang dijalankan universiti bukan sahaja bertujuan menghasilkan ilmu baharu, malah perlu mempunyai nilai dan manfaat kepada masyarakat.
“Kerjasama dengan Eskayvie membolehkan kami menggabungkan kepakaran saintifik dan keupayaan penyelidikan universiti dengan inovasi serta keperluan industri.
“Kami berharap kajian klinikal ini dapat menghasilkan bukti saintifik yang berkualiti, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan inovasi kesihatan yang lebih relevan dengan keperluan masyarakat,” katanya.
Majlis pemeteraian MoA itu turut dihadiri Datuk Aznil Haji Nawawi selaku Duta Eskayvie, barisan penyelidik serta wakil daripada kedua-dua organisasi.

Kerjasama bersama UM ini hadir sebagai sebahagian daripada langkah Eskayvie memperluas aktiviti penyelidikan dan inovasi melalui Eskayvie Research & Innovation Centre.
Pusat tersebut memberi tumpuan kepada kajian klinikal, pembangunan formulasi, pendidikan kesihatan awam serta penerokaan teknologi kesihatan baharu.
Melalui pendekatan itu, Eskayvie menyasarkan lebih banyak kerjasama bersama universiti, penyelidik dan pakar kesihatan, termasuk di peringkat antarabangsa, bagi meneroka pembangunan produk serta penyelesaian kesihatan yang berasaskan penyelidikan.
Bagi Mindtropic, kajian bersama UM ini menjadi satu lagi langkah dalam perjalanan produk berkenaan untuk mendapatkan penilaian klinikal terhadap formulasi lengkapnya. Dapatan daripada kajian tersebut kelak dijangka dapat menjadi rujukan kepada usaha penyelidikan dan pembangunan produk Eskayvie pada masa akan datang.



