Bilangan Harimau Malaya bertambah, NRES ikrar simbol Jata Negara tidak akan pupus – Arthur

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup memaklumkan, perkembangan positif yang telah dicatatkan sejak pelaksanaan sembilan tindakan strategik konservasi Harimau Malaya pada tahun 2021 antaranya ialah peningkatan bilangan individu Harimau Malaya berbanding bilangan individu Harimau Malaya pada tahun 2021 yang direkodkan iaitu kurang daripada 150 ekor.

Menurut Arthur, usaha konservasi Harimau Malaya ini turut mencerminkan semangat Malaysia Madani yang mengutamakan kemampanan, ihsan dan kerjasama seluruh pihak dalam memastikan khazanah alam negara terus terpelihara untuk generasi akan datang.

“Sebanyak 2 kertas pertimbangan dan 1 kertas makluman merangkumi inisiatif mempertingkatkan usaha konservasi spesies Harimau Malaya dan habitatnya di Semenanjung Malaysia telah dibentangkan.

“Mesyuarat telah memperakukan cadangan pengukuhan dan pemerkasaan Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Perhilitan bagi meningkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk mencegah aktiviti penyeludupan hidupan liar khususnya harimau di pintu-pintu masuk utama negara.

“Mesyuarat turut memperakukan pengukuhan pemantauan dan pemulihan populasi Harimau Malaya serta spesies mangsa melalui Program Rondaan dan Perlindungan Biodiversiti (Biodiversity Protection and Patrolling Programme – BP3) dan Program Pengukuhan Perlindungan dan Pemulihan Populasi Harimau Malaya serta Spesies Mangsa di Semenanjung Malaysia bagi memastikan kesinambungan dan kemandirian spesies ikonik negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Selain itu katanya, mesyuarat turut mengambil maklum mengenai status pelaksanaan akreditasi Conservation Assured | Tiger Standards (CA|TS) di Malaysia.

“CA|TS merupakan skim akreditasi bagi memperkasakan pengurusan dan perlindungan habitat Harimau Malaya. Sebanyak 4 kawasan perlindungan dan hutan simpan telah berdaftar sebagai tapak CA|TS yang merangkumi Taman Negara (Pahang, Kelantan dan Terengganu), Taman Negara Endau-Rompin, Kompleks Hutan Temenggor dan Hutan Simpan Amanjaya.

“Keberhasilan yang telah dicapai dalam konservasi Harimau Malaya menunjukkan bahawa usaha menyelamatkan Harimau Malaya akan membuahkan hasil jika semua pihak bersepakat dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya.

“Langkah ini adalah penting bagi memastikan spesies yang menjadi simbol Jata Negara tidak pupus buat selama-lamanya,” ujarnya usai mempengerusikan Mesyuarat National Tiger Implementation Working Group (MyTWG).

Ahli-ahli terdiri daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta wakil negeri-negeri rayauan harimau (Tiger Range States) iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu. MyTWG diwujudkan sebagai usaha untuk mengukuhkan pelaksanaan dan memantau tindakan strategik konservasi Harimau Malaya.

Ia menyokong Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya (National Tiger Conservation Task Force – MyTTF) iaitu platform utama untuk meningkatkan tadbir urus baik dan keberkesanan usaha Kerajaan menyelaras pelaksanaan dan pemantauan tindakan-tindakan strategik bagi konservasi Harimau Malaya serta memperkukuhkan kerjasama pihak-pihak berkepentingan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat