Adakah Pas sedia terima Zahid sebagai Perdana Menteri? – AMK

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mencabar Pas agar menamakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘poster boy’ calon Perdana Menteri dalam gerakan gelombang biru untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Pengarah Strategi AMK Mohd Shafiq Iqram Abdullah berkata, jika BN dan Perikatan Nasional (PN) benar-benar serius untuk bekerjasama menghadapi PRU16, rakyat perlu tahu apakah bentuk kerajaan yang mereka mahu bina dan siapa yang akan memimpin kerajaan tersebut.

Katanya, sekarang ini,kedengaran nama Zahid disebut sebagai kemungkinan calon Perdana Menteri, pada masa sama, Pas juga pernah menyatakan bahawa mereka mempunyai calon Perdana Menteri sendiri.

“Jadi saya nak tanya secara terus kepada Pas. Kalau BN-PN membentuk kerajaan selepas PRU16, adakah Pas bersedia menerima Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri?

“Kalau tidak, siapa calon yang Pas mahu? Dan kalau BN pula mempunyai calon yang berbeza, bagaimana keputusan itu akan dibuat?” soal beliau.

Semalam, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Pahang, Kampus Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan berkata, Pas perlu bersedia untuk menerima sekiranya Zahid bertegas untuk menjadi PM pasca PRU16.

Beliau berkata, selaku rakan gabungan dalam gerakan ‘gelombang biru’, bagi Pas, menerima Zahid bukan semata-mata soal menerima seorang individu daripada Umno, memetik Utusan pada Selasa.

Terdahulu, bekas pemimpin DAP Ong Kian Ming meramalkan Zahid akan menjadi Perdana Menteri jika BN dan PN membentuk pakatan serta memenangi PRU16.

Dalam pada itu, Shafiq berkata, pada akhirnya, ini soal mandat rakyat, oleh itu rakyat berhak mengetahui apa yang ditawarkan kepada mereka sebelum mereka membuang undi.

Katanya, kalau BN-PN mahu membentuk sebuah kerajaan bersama, mereka perlu menjelaskan perkara asas ini kepada rakyat.

“Siapa calon Perdana Menteri mereka?

“Bagi saya, soalan ini wajar dijawab secara terbuka sebelum PRU16, bukan selepas keputusan pilihan raya diketahui,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat