KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) sedang menanti pelawaan Pas untuk duduk semeja membincangkan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pemangku Pengerusi PKR Melaka Adam Adli Abdul Halim berkata, PH terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak termasuk Pas dalam usaha mengekalkan hubungan baik menjelang PRN.
“Cuma kita malam ni dengan kawan-kawan dari Bersatu, biasanya sebelum ni dengan Barisan Nasional (BN).
“Pas sahaja yang belum jemput kita lagi. Saya tunggu juga,” katanya selepas majlis makan malam tertutup antara PH dan Bersatu di Jalan Hang Tuah, lapor MalaysiaGazette di Melaka.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu jika Pas mempelawa PH untuk mengadakan rundingan politik berhubung PRN Melaka
“Kalau Pas hendak jemput, Alhamdulillah kita akan datang,” katanya.
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menegaskan, tiada sebarang agenda sulit dalam pertemuan malam tadi sebaliknya sekadar suai kenal untuk melihat hala tuju kedua-dua parti.
“Tiada apa-apa perbincangan. Kita cuma makan malam dan suai kenal. Dalam pilihan raya kali ni semua pihak sebenarnya sedang bercakap dengan satu sama lain,” jelasnya.
Terdahulu, PN Melaka yang dipengerusikan Datuk Dr Radzi Jidin menyatakan kesediaan berunding dengan sesiapa sahaja termasuk BN manakala PH pula dilaporkan bakal bergerak menerusi formula PH Plus tanpa BN.


