KUALA LUMPUR – Pasport Malaysia mencatat pencapaian membanggakan apabila berada di kedudukan kedua dunia dalam The Passport Index Global Ranking 2026, berbanding kedudukan ketiga tahun lalu.
Menerusi hantaran Facebook Jabatan Imigresen Malaysia, berdasarkan penarafan berkenaan, pemegang pasport Malaysia kini mempunyai akses ke 175 destinasi di seluruh dunia.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 129 destinasi boleh dikunjungi tanpa visa, manakala 46 destinasi menawarkan visa semasa ketibaan.
“Sementara itu, hanya 23 destinasi memerlukan pemegang pasport Malaysia mendapatkan visa terlebih dahulu,” katanya.
Pencapaian tersebut sekali gus menggambarkan tahap penerimaan serta kekuatan pasport Malaysia dalam memudahkan pergerakan rakyat ke luar negara.
Kedudukan itu juga menyaksikan Malaysia berada dalam kelompok negara yang mempunyai pasport dengan akses perjalanan antarabangsa yang tinggi.


