KUALA LUMPUR – Perjumpaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim bersama barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang dijadualkan berlangsung pagi ini dibatalkan atas faktor keselamatan.
Sumber memaklumkan, keputusan itu dibuat mengambil kira keadaan semasa dan aspek keselamatan selepas dinasihatkan pihak berkuasa.
“Perjumpaan di sebuah hotel dibatalkan atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa,” katanya menurut BH di Seremban pada Rabu.
Sebelum ini, pertemuan berkenaan dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar pada jam 9 pagi bagi sesi suai kenal dan mengeratkan hubungan antara Menteri Besar, barisan Exco dan Tunku Nadzaruddin.
Mengulas lanjut, sumber berkata, Ismail bagaimanapun hanya bersarapan bersama barisan Exco dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pagi ini.
“Menteri Besar hanya bersarapan dengan Exco dan beberapa Adun kerajaan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ismail dan barisan Exco dijadualkan menghadap Tunku Nadzaruddin dalam Majlis Menghadap Sembah Takzim, yang turut dijangka dihadiri Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Perkembangan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan terus menjadi perhatian susulan tindakan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua 10 Exco, manakala Ismail menegaskan barisan ahli mesyuarat kerajaan negerinya masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.



