KUALA LUMPUR, – Datuk Seri Najib Razak berdepan kesukaran untuk membayar denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pengampunan bersyarat kepadanya kerana akaun bank dan hartanya masih dibekukan, menurut peguam.
Tetuan Shafee & Co. berkata, sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah bekas Perdana Menteri itu masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Menurut firma guaman itu, pelupusan aset berkenaan juga tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib ketika ini.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau.
“Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim memperkenankan pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan diraja terhadap Najib dengan memberikan pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.
Pihak peguam berkata, Najib menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonannya.
Bagaimanapun, firma itu menjelaskan bahawa pengampunan yang diperkenankan kepada Najib merupakan pengampunan bersyarat.
Pelaksanaan tahanan rumah itu bergantung kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan dalam keputusan berkenaan.
“Berhubung syarat pembayaran denda sebanyak Ringgit Malaysia Lima Puluh Juta (RM50,000,000.00), buat masa ini sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah anak guam kami masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Sehingga denda berkenaan dibayar kepada mahkamah, Najib akan kekal berada di Penjara Kajang.
Pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat pengampunan tersebut serta implikasi praktikal pelaksanaannya.
Dalam kenyataan sama, Najib turut merakamkan penghargaan khusus kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pimpinan dan ahli Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan ahli UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat.
Penghargaan itu diberikan atas pendirian dan sokongan mereka yang disifatkan sentiasa teguh bersama beliau.
Najib turut berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menawarkan bantuan bagi membolehkannya memenuhi syarat pembayaran denda berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak mahu mana-mana pihak, termasuk parti, ahli dan penyokongnya serta orang ramai, berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan terhadapnya.
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan.
“Keikhlasan mereka merupakan sumber kekuatan yang amat besar kepada beliau sejak dari dahulu sehingga hari ini,” menurut kenyataan itu.
Najib turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai dan semua pihak yang sentiasa mendoakannya.
Beliau pada masa sama memohon supaya privasi keluarganya dihormati.
Tetuan Shafee & Co. memaklumkan pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.



