KUALA LUMPUR – Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah menggesa para pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan (PH) supaya berhenti bertindak seperti mereka mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada seseorang wajar diberikan pengampunan atau sebaliknya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara berkaitan pengampunan bukan sesuatu yang diputuskan melalui kenyataan politik atau perbicaraan di media sosial.
“Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan suatu proses yang jelas iaitu melalui Lembaga Pengampunan dan proses inilah yang wajid dihormati oleh semua pihak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan, mensabitkan dan menjatuhkan hukuman dan Jabatan Penjara pula bertanggungjawab melaksanakan hukuman tersebut.
“Selepas sabitan dan hukuman, Perlembagaan menyediakan suatu proses tersendiri bagi mempertimbangkan permohonan pengampunan,” kata Mahdzir.
Beliau berkata permohonan pengampunan oleh Datuk Seri Najib Razak bukanlah satu penolakan terhadap keputusan mahkamah dan ia bukan juga satu perbicaraan semula atau rayuan politik.
“Ia merupakan hak untuk memohon pertimbangan melalui saluran sah yang disediakan oleh Perlembagaan.
“Kuasa pengampunan merupakan luasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang berteraskan ihsan bagi mengimbangi neraca keadilan setelah proses undang-undang selesai,” katanya.
Maka, tiada parti politik berhak mendahului atau cuba mempengaruhi pertimbangan tersebut dengan menentukan lebih awal siapakah yang layak atau tidak layak menerima pengampunan, jelas Mahdzir.
Bagi beliau, Lebih mendukacitakan apabila terdapat pemimpin dan penyokong PH yang secara terbuka mendesak supaya permohonan Datuk Seri Najib tidak diperkenankan.
“Tindakan sedemikian bukan sahaja mendahului proses Lembaga Pengampunan, malah boleh dilihat sebagai cubaan memberikan tekanan politik terhadap suatu pertimbangan yang sepatutnya berlangsung secara bebas dan tertib,” katanya.
Mahdzir berkata Malaysia berdiri atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
“Menghormati Perlembagaan bukan bermaksud memilih peruntukan yang disukai dan menolaknya apabila melibatkan lawan politik. Perlembagaan tidak berubah mengikut warna parti atau nama individu.
“UMNO Negeri Kedah akan terus menjunjung institusi Raja-Raja Melayu serta menghormati apa-apa keputusan yang dibuat selaras dengan kerangka Perlembagaan,” katanya.



