SEREMBAN – Seorang lagi anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Hasim, turut memuat naik kenyataan media berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir di akaun media sosialnya.
ADUN Labu yang dikenali sebagai Maira Hasim itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri.
Beliau menjadi anggota Exco keempat yang dilihat menyiarkan dokumen bertarikh 16 September 2026 itu, selepas Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Mustapha Nagoor dan Suhaimizan Bizar. ADUN Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman, yang bukan anggota Exco, turut berkongsi dokumen sama.
Kenyataan berkenaan mendakwa mesyuarat Exco pada 15 September yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, telah mencapai keputusan kolektif untuk menjunjung ketetapan Undang Yang Empat.
Menurut dokumen itu, proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemilihan Tuanku Nadzaruddin Almarhum Tuanku Ja’afar telah ditandatangani serta dicap mohor oleh Undang Luak yang sah. Kenyataan tersebut seterusnya mengumumkan Tuanku Nadzaruddin dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Penyiaran oleh empat anggota Exco mengesahkan bahawa mereka telah mengedarkan kenyataan itu secara terbuka. Kesahan proklamasi yang dinyatakan dalam dokumen berkenaan masih dipertikaikan. – SuaraTV


